Gema Semua Maklumat

Duta UAE ke Amerika terima AS$66 juta duit 1MDB, lapor WSJ

Duta UAE ke Amerika terima AS$66 juta duit 1MDB, lapor WSJ

Duta Emiriah Arab Bersatu ke Amerika Syarikat, Yousef al-Otaiba.

BANGI, 8 Syawal 1438H, Ahad – Firma yang ada kaitan dengan Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menerima AS$66 juta daripada akaun luar pesisir yang mengandungi wang yang didakwa dilencongkan dari dana pelaburan 1MDB, lapor The Wall Street Journal (WSJ).

Pada 2015 lalu, dakwaan tersebar mengatakan berbilion-bilion ringgit dicuri daripada 1MDB.

WSJ berkata, e-mel Yousef al-Otaiba yang bocor, termasuk ‘huraian mesyuarat antara rakan perniagaan al-Otaiba yang berpangkalan di Abu Dhabi, Shaher Awartani dan jutawan Malaysia yang dituduh menjadi perancang utama konspirasi melarikan wang 1MDB, Jho Low’.

Sebelum ini, Jabatan Keadilan (DoJ) AS berkata, berbilion-bilion ringgit dicuri daripada 1MDB oleh individu yang rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib juga dilaporkan memiliki RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya tatkala skandal kewangan 1MDB yang dianggap terbesar dalam sejarah mula terbongkar. Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku, manakala 1MDB pula mendakwa tiada penyelewengan dilakukan.

Menurut WSJ, sebagai tambahan kepada mesyuarat antara Awartani dan Jho Low, ‘kes jenayah di Singapura membabitkan pegawai bank Swiss mendedahkan AS$50 juta bayaran dibuat kepada syarikat yang ada kaitan dengan Otaiba, termasuk Densmore Investments Ltd di British Virgin Islands dan Silver Coast Construction & Boring di UAE’.

“Dalam dokumen berasingan yang dilihat oleh WSJ berkaitan siasatan Singapura terhadap dakwaan hubungkait 1MDB dengan pengubahan wang haram, pihak berkuasa menghuraikan Densmore dikawal oleh Otaiba dan Awartani. Dokumen itu juga menghuraikan AS$16 juta lagi bayaran berasingan dibuat kepada Densmore dalam bentuk pinjaman daripada syarikat yang berkaitan dengan penipuan itu,” kata WSJ.

Penggodam komputer yang dikenali ‘Global Leaks’ mula membocorkan e-mel daripada Otaiba awal bulan ini, yang menunjukkan komunikasi antara Otaiba, Awartani dan Jho Low, lapor WSJ.

“Pada 5 Mei 2015, eksekutif kewangan syarikat dikawal Otaiba dan Awartani berpangkalan di Dubai, memberitahu Otaiba dalam e-mel bahawa Jho Low mengarahkan menutup akaun mereka di BSI Bank – bank Swiss yang disiasat di AS, Switzerland dan Singapura yang didakwa memainkan peranan dalam penipuan dana 1MDB. Densmore mempunyai akaun di BSI,” kata WSJ.

WSJ berkata, Otaiba enggan mengulas pendedahan itu, tetapi jurucakap kedutaan UAE memberitahu bahawa ‘wujud pelbagai dokumen yang telah dirancang yang menyasarkan duta yang didakwa digodam’.

The post Duta UAE ke Amerika terima AS$66 juta duit 1MDB, lapor WSJ appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Duta UAE ke Amerika terima AS$66 juta duit 1MDB, lapor WSJ
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Duta UAE ke Amerika terima AS$66 juta duit 1MDB, lapor WSJ"

Back To Top