BANGI, 25 Syawal 1438H, Rabu – Pengumuman menghapuskan elaun sara hidup RM430 sebulan dan elaun perjalanan RM500 setahun untuk pelajar yang menyertai Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) mulai Jun 2018 adalah satu lagi berita buruk dalam siri pemotongan perbelanjaan kerajaan untuk bidang pendidikan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu juga membuktikan keadaan kewangan kerajaan yang semakin meruncing.
Beliau berkata, sebelum ini, bajet kepada universiti awam tempatan juga dipotong kerana kekangan kewangan menyebabkan kontrak profesor yang berpengalaman tidak disambung.
“Kerajaan sepatutnya memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan kerana bidang ini melibatkan pelaburan jangka panjang negara. Belanjawan untuk bidang pendidikan tidak seharusnya dipotong sewenang-wenangnya kerana ini akan menjejaskan pembangunan modal insan negara.
“PISMP adalah satu program penting untuk melatih bakal guru yang berkualiti. Ketika saya di Kementerian Pendidikan dahulu, saya terlibat secara langsung dalam penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mana latihan guru untuk tujuan melahirkan guru yang berkualiti adalah salah satu aspek penting pelan ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, secara prinsipnya dalam mana-mana program pelatihan, majikanlah yang sepatutnya menanggung keseluruhan kos latihan, termasuk menyediakan elaun sara hidup untuk pelatih, yang digunakan bagi menampung perbelanjaan mereka sepanjang menyertai program latihan.
“Dalam konteks PISMP, pelajar adalah pelatih dan Kementerian Pendidikan adalah majikan. Dengan menghapuskan elaun sara hidup pelajar-pelajar PISMP, Kementerian Pendidikan sebenarnya telah mengalih sebahagian daripada kos latihan perguruan yang sepatutnya ditanggung oleh kerajaan kepada para pelatih dan ibubapa mereka. Ini adalah sesuatu yang tidak adil,” katanya.
Muhyiddin berkata, meminta pelajar PISMP memohon pinjaman PTPTN bukanlah jalan penyelesaiannya, kerana PTPTN juga menghadapi kekangan dari segi keupayaan untuk menyediakan pinjaman kepada semua pelajar.
“Apa yang saya khuatir ialah jika pelajar PISMP gagal mendapat pinjaman PTPTN dan mereka terpaksa menarik diri daripada mengikuti program PISMP kerana tidak mempunyai kemampuan kewangan, apakah yang akan terjadi kepada unjuran latihan perguruan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan?
“Adakah satu hari nanti akan berlaku kekurangan guru untuk mata pelajaran tertentu dan guru lain terpaksa memikul beban berlebihan akibat kekurangan ini yang akhirnya akan menjejaskan kualiti pendidikan negara?
“Saya berharap kerajaan akan menimbang semula keputusannya untuk menghapuskan elaun PISMP dan kembali memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan dalam merancang belanjawan negara,” katanya.
The post Hapus elaun guru pelatih berita buruk, bukti kewangan kerajaan meruncing appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Hapus elaun guru pelatih berita buruk, bukti kewangan kerajaan meruncing
0 Komentar untuk "Hapus elaun guru pelatih berita buruk, bukti kewangan kerajaan meruncing"