Gema Semua Maklumat

Hizbut Tahrir tetap nafi fahaman, ajaran bercanggah Islam

Hizbut Tahrir tetap nafi fahaman, ajaran bercanggah Islam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Syawal 1438H, Khamis – Hizbut Tahrir menafikan pernah mendakwa ahli Parlimen, kerajaan dan ulama adalah kafir dan harus diperangi, sebagaimana yang disebut dalam warta kerajaan negeri Selangor bertarikh 17 September 2015.

Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Abdul Hakim Othman berkata, gerakan itu juga turut menolak tuduhan bahawa pernah mendakwa negara-negara Islam semuanya sebagai negara kafir kerana berhukum dengan sistem kufur dan haram menyertai sistem kerajaan sekarang.

Beliau mengulas laporan berhubung pengharaman kumpulan itu oleh kerajaan Indonesia semalam. Ismaweb.net turut melaporkan keputusan pengharaman itu dan memetik keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang pada 2015 lalu mewartakan gerakan itu adalah sesat.

Fatwa itu dikeluarkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 diwartakan pada 17 September 2015.

Mengikut fatwa itu, fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Fatwa itu turut menyatakan antara elemen yang terkandung dalam fahaman Hizbut Tahrir ialah menyatakan pemerintah, ahli Parlimen dan ulama Islam adalah kafir serta harus diperangi kerana menerima system kufur.

Berikutan itu, Hizbut Tahrir memfailkan tuntutan mahkamah bagi membatalkan fatwa berkenaan.

“Hizbut Tahrir bersedia menerima, malah mengajak mana-mana pihak yang ingin berdiskusi serta berhujah secara terbuka dengan gerakan itu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Diminta mengulas mengenai antara desakan Hizbut Tahrir Indonesia terhadap kerajaan negara itu supaya dilaksanakan undang-undang syariah dan system khalifah, Abdul Hakim berkata:

“Semua pertubuhan Islam di Malaysia mahukan kepada pelaksanaan undang-undang Islam… bukan Hizbut Tahrir sahaja.”

Mengakui Hizbut Tahrir Malaysia tidak dapat didaftarkan kerana halangan daripada Kementerian Dalam Negeri, beliau bagaimanapun berkata, perkara itu juga sudah dibawa ke mahkamah.

Hizbut Tahrir diasaskan pada tahun 1953 di Al Quds (Baitul Maqdis), Palestin dan dipelopori oleh ulama Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani. Hizbut Tahrir Malaysia ditubuhkan pada tahun 1990-an.

The post Hizbut Tahrir tetap nafi fahaman, ajaran bercanggah Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Hizbut Tahrir tetap nafi fahaman, ajaran bercanggah Islam
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Hizbut Tahrir tetap nafi fahaman, ajaran bercanggah Islam"

Back To Top