BANGI, 8 Syawal 1438H, Ahad – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah bersetuju memberi kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.
Kelulusan itu diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 23 Februari lalu.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua graduan perubatan yang berkelayakan untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41 untuk menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib selama dua tahun diberi kelonggaran kepada syarat Lulus BM ini.
Katanya, bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan dan merupakan bahasa rasmi Persekutuan, iaitu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).
“Oleh itu, seperti juga lantikan tetap bagi lain-lain skim perkhidmatan dalam sektor perkhidmatan awam, calon yang memohon lantikan secara tetap sebagai Pegawai Perubatan di KKM perlulah Lulus BM di peringkat SPM.
“Malahan terdapat beberapa skim perkhidmatan lain yang meletakkan syarat lebih tinggi iaitu Kredit BM sebagai syarat lantikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, Dr Noor Hisham berkata, semua calon Pegawai Perubatan UD41 yang dilantik dengan kelonggaran syarat Lulus BM ketika lantikan kontrak perlu memenuhi syarat Lulus BM di peringkat SPM bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan.
Katanya, kementerian mengambil maklum bahawa calon persendirian yang mendaftar untuk Peperiksaan SPM kali pertama boleh memohon kelulusan daripada Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk mengambil Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran tunggal iaitu bagi memenuhi syarat perkhidmatan lantikan ke perkhidmatan awam, tanpa perlu menduduki subjek SPM lain.
“KKM akan berbincang selanjutnya dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Lembaga Pendidikan bagi melicinkan proses ini bagi calon persendirian yang terlibat,” katanya.
The post JPA longgar syarat lulus Bahasa Melayu untuk pegawai perubatan kontrak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di JPA longgar syarat lulus Bahasa Melayu untuk pegawai perubatan kontrak
0 Komentar untuk "JPA longgar syarat lulus Bahasa Melayu untuk pegawai perubatan kontrak"