Tuduhan campur tangan hanya dijadikan helah
BANGI, 8 Syawal 1438H, Ahad – Siasatan dan tindakan yang dilakukan oleh beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat dan Singapura terhadap kes 1MDB, tidak ada kena mengena dengan isu campur tangan di dalam hal ehwal Malaysia, sebaliknya ia adalah perlakuan jenayah di negara berkenaan.
Sehubungan itu, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin menegaskan bahawa tindakan sesetengah pihak di negara ini yang mengatakan, ia adalah campur tangan terhadap hal ehwal Malaysia, sebenarnya adalah helah, sedangkan ia sebenarnya adalah isu jenayah.
Katanya, sesiapa sahaja yang faham undang-undang dan konvensyen antarabangsa tidak terperanjat tindakan beberapa negara asing menyiasat dan menghukum pihak yang terbabit dengan penggelapan wang 1MDB.
“Setiap negara ada undang-undang dan konvensyen merangkumi segala aspek kehidupan, khususnya jenayah, keselamatan dan kedaulatan. Melalui perjanjian dan konvensyen antarabangsa, jenayah boleh ditangani secara global.
“Undang-undang pula ada dua jenis iaitu jenayah dan sivil. Di sesetengah negara, termasuk negara kita, ada pula undang-undang kaum atau tribal law,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.
Negara-negara berkenaan menyiasat dan mengambil tindakan kerana jenayah 1MDB itu berlaku di negara mereka, bukannya berlaku di Malaysia yang kemudiannya negara-negara itu masuk untuk campur tangan.
Sebelum ini, pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS mengajak rakyat menolak campur tangan asing dalam siasatan dan tindakan berkaitan kehilangan dan kecurian berbilion-bilion ringgit dana syarikat pelaburan strategik Malaysia itu.
BN mendakwa pembangkang menggalakkan campur tangan asing dalam hal ehwal negara, manakala PAS pula mendakwa mereka yang mengundang pihak asing supaya mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya.
Kadir berkata, Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS), misalnya menggunakan undang-undang jenayah, khususnya berkenaan pengubahan wang haram, bagi menghukum beberapa orang tempatan dan asing terbabit menyalur wang dipercayai digelapkan daripada 1MDB.
“Jabatan Kehakiman Amerika pula memilih menggunakan undang-undang sivil bagi menangani jenayah pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
“Singapura guna undang-undang jenayah untuk hukum orang-orang terlibat manakala Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) menggunakan saluran sivil melalui apa yang dipanggil Kleptocracy Asset Recovery Initiative (KARI).
“KARI undang-undang yang memberikan kuasa kepada kerajaan Amerika mendapatkan balik harta dicuri daripada negara dan rakyat jelata oleh pemerintah,” katanya.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarang New Straits Times berkata, Singapura negara yang bergantung besar kepada industri kewangan dan pasaran modal, tidak membiarkan wilayahnya diguna untuk menyalurkan wang haram, apatah lagi mengubahkannya menjadi wang halal dengan membeli saham, hartanah dan aset-aset lain di buminya.
Begitu juga Amerika. Walaupun ia mengalu-alukan pelaburan asing, ia tidak membenarkan wang haram dan wang curi digunakan untuk membeli harta di wilayahnya, katanya.
“Malaysia dan 1MDB bukanlah kes pertama dibicarakan di bawah KARI. Banyak negara dan orang asing dikenakan tindakan serupa cuma kes 1MDB adalah terbesar.
“Misalnya pada 2015 DoJ telah berjaya merampas dan memulangkan AS$1.12 juta (RM5.04 juta) harta bekas Presiden Korea Selatan, Chun Doo-hwan. Harta itu dirampas di Selatan California dan Philadelphia di mana pihak berkuasa menemui sebuah rumah di Newport Beach dan pelaburan di dalam sebuah syarikat di Pennsylvania berkaitan anaknya, Chun Jae Yong.
“Duit itu dipulangkan kepada kerajaan yang menggantikan Chun Doo-hwan. Begitu juga rampasan lain di bawah KARI yang membabitkan beberapa orang diktator dan bekas diktator di Afrika,” katanya.
The post Kes 1MDB berlaku di negara asing bukan campur tangan dalam Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kes 1MDB berlaku di negara asing bukan campur tangan dalam Malaysia
0 Komentar untuk "Kes 1MDB berlaku di negara asing bukan campur tangan dalam Malaysia"