BANGI, 9 Syawal 1438H, Isnin – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menggesa kerajaan mengekalkan syarat kredit Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk semua perlantikan jawatan tetap.
Presiden I-Medik, Prof Dr Azmi Md Nor berkata, ia seiring bagi memenuhi aspirasi kerajaan dalam memupuk semangat perpaduan serta selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152, Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
“Kami maklum bahawa Bahasa Melayu penting untuk komunikasi dengan pesakit yang rata-ratanya fasih berbahasa Melayu dalam rangka merumuskan diagnosa yang tepat dan jitu untuk merawat pesakit sebaik-baiknya.
“Sebaliknya, jika pengamal perubatan kurang mahir atau tidak memahami Bahasa Melayu, maka boleh berlaku kesilapan dalam diagnosa dan rawatan yang boleh mengakibatkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berhubung kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.
Mengulas perkara itu, Dr Azmi berkata, umum mengetahui bahawa syarat wajib kredit dan lulus bahasa Melayu memang sudah termaktub dalam polisi kerajaan bagi sesiapa yang ingin menyertai sektor awam sejak dahulu lagi.
“Walaubagaimana pun, polisi ini telah diberi kelonggaran pada masa dahulu bagi graduan perubatan disebabkan kekurangan doktor pada waktu itu.
“Namun, dengan situasi yang ada sekarang di mana lambakan doktor berlaku, sudah tiba masanya syarat wajib kredit bahasa Melayu ini dikuatkuasakan semula dan kami ingin mengesyorkan supaya ia dijadikan syarat bagi semua bidang perkhidmatan kerajaan dan bukan sahaja dalam bidang perubatan,” katanya.
Malah beliau berkata, kelonggaran syarat itu dibimbangi akan menjejaskan peluang pekerjaan pengamal perubatan keluaran Malaysia.
“Dikhuatiri bahawa jika syarat lulus Bahasa Melayu dilonggarkan, pengamal-pengamal perubatan berkelayakan daripada luar negara akan menggunakan peluang ini untuk bekerja di negara kita lantas menjejaskan peluang pekerjaan pengamal-pengamal perubatan keluaran negara kita,” katanya.
Dr Azmi turut berpendapat bahawa subjek sejarah juga sepatutnya menjadi subjek wajib lulus bagi mereka yang ingin berkhidmat dalam sektor awam.
“Penjawat awam yang kenal sejarah akan lebih dedikasi dan terdorong untuk lebih produktif dan efisien dalam kerjaya mereka,” katanya.
The post KKM wajar kekalkan syarat BM SPM untuk semua lantikan perjawatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di KKM wajar kekalkan syarat BM SPM untuk semua lantikan perjawatan
0 Komentar untuk "KKM wajar kekalkan syarat BM SPM untuk semua lantikan perjawatan"