BANGI, 22 Syawal 1438H, Ahad – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi gesaan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau dengan tegas menyatakan pendirian bahawa Malaysia tidak harus menjadi sebuah negara yang melindungi penjenayah.
Katanya, beberapa hari lalu, mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara empat tahun enam bulan ke atas bekas pengurus kekayaan BSI Bank Singapura, Yeo Jiawei, kerana didapati bersalah melakukan jenayah penggubahan wang haram yang membabitkan urusniaga 1MDB.
“Tindakan mahkamah Singapura ini adalah konsisten dengan apa yang saya katakan selama ini bahawa terdapat bukti kukuh tentang jenayah penyelewengan wang 1MDB dan mereka yang terbabit mesti didakwa.
“Amatlah menghairankan apabila pihak berkuasa Singapura berjaya menemui bukti untuk mendakwa Yeo dan mensabitkan beliau atas kesalahan jenayah, tetapi Peguam Negara Malaysia tidak menemui apa-apa bukti untuk memulakan proses pendakwaan ke atas penyangak 1MDB di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pihak berkuasa Singapura juga telah meghentikan operasi BSI Bank dan Falcon Bank di negara itu dan mendenda beberapa buah bank lain yang didapati terbabit dalam jenayah penggubahan wang haram melibatkan berbilion-bilion ringgit wang 1MDB.
“Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja Skandal 1MDB perlu diwujudkan segera untuk menyiasat skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara ini dan mereka yang terbabit melakukan jenayah, termasuk penjawat-penjawat awam yang melindungi mereka, perlu dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
The post Malaysia tak boleh jadi negara pelindung penjenayah: Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Malaysia tak boleh jadi negara pelindung penjenayah: Muhyiddin
0 Komentar untuk "Malaysia tak boleh jadi negara pelindung penjenayah: Muhyiddin"