Gema Semua Maklumat

SCMP puji PM Singapura, kritik pendirian Najib isu 1MDB

SCMP puji PM Singapura, kritik pendirian Najib isu 1MDB

BANGI, 15 Syawal 1438H, Ahad – Menggunakan tajuk ‘1MDB vs 38 Oxley Road: Why Malaysia envies Singapore’, South China Morning Post (SCMP) membuat perbandingan terhadap pendirian dua Perdana Menteri negara berjiran itu, berhubung isu peribadi dalam kepentingan politik mereka.

Menerusi ruangan ‘This Week In Asia’, SCMP menyatakan rakyat Malaysia kagum dengan pendirian terbuka Lee Hsien Loong, membabitkan isu keluarga, berbanding pendirian tertutup Datuk Seri Najib Razak yang dilingkari pelbagai isu, khususnya skandal 1Malaysia Development Berhad (MDB).

Hsien Loong menurut SCMP mendapat pujian kerana cara beliau mengendali dan menangani isu yang kebanyakan pihak berpendapat ia patut menjadi rahsia keluarga. Adik beradiknya menuduh beliau menyalahguna kuasa sebagai Perdana Menteri untuk membatalkan hasrat bapa mereka, Lee Kuan Yew, mengenai rumah keluarga di 38 Oxley Road.

Adik beradiknya mengatakan, bapa mereka mahu supaya rumah itu dirobohkan selepas kematiannya, tetapi Hsien Loong menentang hasrat itu dan mahu memeliharanya sebagai modal politik.

Namun, Perdana Menteri Singapura itu memberi maklum balas secara terbuka. Bukan sahaja membuat kenyataan menerusi televisyen – dengan mengatakan beliau telah melakukan apa sahaja untuk menyelesaikan konflik keluarganya dan memohon maaf atas sebarang kemudaratan yang mungkin menjejaskan reputasi Singapura – tetapi memberi peluang kepada Ahli Parlimen negara itu untuk ‘menghentamnya’ di Parlimen.

SCMP bagaimanapun, mempertikaikan tindakan Najib yang berdiam diri mengenai skandal 1MDB – di mana siasatan mendapati ada AS$700 juta dalam akaun peribadinya. Beliau juga mengharamkan Parlimen daripada membangkitkan isu itu, dan menyingkir pemimpin kanan daripada Kabinetnya, apabila mereka membangkitkan isu itu.

Pendekatan berbeza kedua-dua pemimpin itu, kata SCMP, lebih jelas selepas penemuan siasatan terbaharu Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mengenai 1MDB.

Ketika orang ramai terus mendapat maklumat mengenai isu keluarga Hsien Loong – termasuk catatan dalam Facebook keluarga Perdana Menteri Singapura dan e-mel peribadi yang didedahkan – rakyat juga meneliti butiran terbaharu mengenai siasatan DoJ terhadap 1MDB.

Pemfailan terbaharu saman sivil pelucutan hak oleh DoJ itu bertujuan mendapatkan semula aset bernilai AS$540 juta, termasuk kapal layar, lukisan Picasso yang dihadiahkan kepada pelakon Leonardo DiCaprio, dan kalung berlian yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Dokumen DoJ mendakwa hampir AS$30 juta dicuri daripada dana 1MDB digunakan untuk membeli barang kemas buat isteri ‘Malaysia Official 1’ (MO1) – barang kemas yang dikatakan termasuk kalung berlian merah jambu 22 karat. Dokumen tersebut tidak menamakan Najib atau isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tetapi mengatakan barang kemas itu adalah untuk isteri MO1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan MO1 adalah Najib.

SCMP turut menyiarkan lukisan kartunis kontroversi, Zunar, yang mengulas mengenai pembelian barang kemas itu dengan melukis ‘perempuan dengan gaya rambut sarang lebah menunggang penyapu 1MDB, sambil memegang loket berlian merah jambu yang besar’. Satu lagi ilustrasi menggambarkan watak Inspektor Clouseau-esque yang menyiasat berlian itu.

Bulan lalu, peguam Rosmah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka sedang memantau dengan teliti semua platform media dan penerbitan lain, dan mengingatkan orang ramai berhati-hati supaya tidak membuat sebarang kenyataan palsu dan berniat jahat.

Jun lalu, model Australia, Mirandar Kerr menyerahkan perhiasan bernilai AS$8.1 juta yang diberikan kepadanya oleh individu yang memainkan peranan penting menyelewengkan wang 1MDB, Jho Low, kepada DoJ.

SCMP juga memetik kenyataan seorang penganalisis politik dari Pusat Penyelidikan Pasifik, Oh Ei Sun yang berkata, tindakan Najib berdiam diri kerana beliau yakin mendapat sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Di kemudian hari, skandal 1MDB tidak akan memberi kesan signifikan terhadap undi kepada gabungan parti pemerintah, Barisan Nasional, atau khususnya kepada UMNO.

“Najib bergantung, terutama kepada golongan miskin bandar dan luar bandar dan bagi mereka isu 1MDB hanyalah satu sandiwara. Mereka mengikutinya tetapi berasa benci terhadap Najib, seperti kumpulan pertama. Mereka lebih berminat sama ada mereka akan dapat berkongsi pemberian yang diharapkan. Mereka tidak akan berhenti mengundi BN kerana 1MDB,” katanya.

Malah, beliau juga berkata, tidak ada keperluan untuk memperjelaskan isu-isu di Malaysia, kerana pengundi Singapura ‘lebih canggih dan berpendidikan’.

Namun, banyak pengundi dan Ahli Parlimen Malaysia kecewa dengan apa yang mereka lihat sebagai satu halangan perbincangan mengenai skandal 1MDB.

The post SCMP puji PM Singapura, kritik pendirian Najib isu 1MDB appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di SCMP puji PM Singapura, kritik pendirian Najib isu 1MDB
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "SCMP puji PM Singapura, kritik pendirian Najib isu 1MDB"

Back To Top