Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 12 Syawal 1438H, Khamis – Susulan keputusan Kabinet mengekalkan syarat lulus Bahasa Melayu untuk pelantikan semua jawatan awam, kerajaan disaran memasukkan Sejarah sebagai satu lagi mata pelajaran wajib lulus.
Saranan ini selaras dengan Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 3 tahun 2011 yang menyatakan Sejarah sebagai Mata Pelajaran Wajib Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun 2013.
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Eqwan Roslan berkata, ia penting kerana rakyat Malaysia seharusnya memahami latar belakang sejarah Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan yang dipelajari dalam subjek sejarah selain mata pelajaran Bahasa Melayu (BM).
Katanya, memiliki SPM bukan sahaja penting daripada sudut kompetensi untuk berkhidmat dan keupayaan bertutur tetapi juga sebagai pembentukan identiti dan asas perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Mengulas keputusan Kabinet yang membatalkan keputusan melonggarkan syarat lulus BM peringkat SPM bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41, Eqwan berkata, Pembina menyambut baik keputusan itu.
Ia selari dengan aspirasi rakyat Malaysia serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menjadi identiti rakyat Malaysia.
Namun, beliau berpandangan syarat tersebut masih satu kelonggaran berbanding syarat pelantikan ke perkhidmatan awam iaitu:
Lulus enam mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, dengan dua daripada mata pelajaran adalah di peringkat Kepujian dan selebihnya peringkat Lulus dalam satu peperiksaan; atau
Lulus enam mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, dengan dua mata pelajaran adalah di peringkat Kepujian dan selebihnya peringkat Lulus yang dikumpulkan dalam dua peperiksaan dalam tempoh tiga tahun berturut- turut; dan
Memenuhi syarat kelayakan Bahasa Melayu iaitu Kepujian dan subjek-subjek tertentu seperti mana yang disyaratkan dalam skim perkhidmatan.
Pada masa sama, Pembina juga berharap kerajaan akan terus berwaspada dengan desakan-desakan kumpulan yang cuba menekan kerajaan untuk mengubah identiti Malaysia.
The post Selepas Bahasa Melayu, Pembina cadang masukkan ‘wajib lulus Sejarah’ sebagai syarat pelantikan perkhidmatan awam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Selepas Bahasa Melayu, Pembina cadang masukkan ‘wajib lulus Sejarah’ sebagai syarat pelantikan perkhidmatan awam
0 Komentar untuk "Selepas Bahasa Melayu, Pembina cadang masukkan ‘wajib lulus Sejarah’ sebagai syarat pelantikan perkhidmatan awam"