BANGI, 17 Syawal 1438H, Selasa – Serangan pemimpin UMNO terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menunjukkan parti itu semakin panik dan gelabah, apabila menyedari rakyat, termasuk akar umbinya sedang menolak parti itu.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO tidak akan mampu menahan ‘Tsunami Melayu’ apabila program anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa mendapat sambutan ribuan orang Melayu yang dulunya penyokong UMNO.
Katanya, sekarang adalah musim persidangan perwakilan UMNO bahagian dan ini adalah masa di mana pemimpin parti itu menggunakan pentas untuk membakar semangat ahlinya dan menyerang msuh politik.
“Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyerang Tun Dr Mahathir dengan mengancam untuk mendedahkan ‘aib’ Tun Mahathir jika beliau terus bersuara mengkritik Najib. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mendesak Tun Mahathir supaya bersara daripada politik. Katanya beri peluang kepada orang muda untuk berpolitik.
“Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Muar, Dato’ Razali Ibrahim, tidak semena-mena mengumumkan beliau bersedia melawan saya di Parlimen Muar dalam pilihanraya umum ke-14. Katanya saya sedang membakar kelambu kerana marahkan nyamuk.
“Saya merasakan bahawa pemimpin UMNO sedang gelabah. Mereka tahu bahawa rakyat dan orang Melayu sendiri, termasuk ahli-ahli UMNO di akar umbi sedang menolak UMNO. Dalam setiap program anjuran PPBM, ribuan orang Melayu hadir dan ramai daripada mereka dahulunya adalah penyokong UMNO. Ini termasuk di kawasan-kawasan Felda yang dahulunya adalah kubu kuat UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden Bersatu itu berkata, jika dulu ada kawasan yang gagal ditembusi pembangkang, kini dengan kehadiran Bersatu, bukan sahaja dapat ditembusi, malah ribuan hadir untuk mendengar ucapan Tun Dr Mahathir, beliau dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pemimpin pembangkang lain.
“Fenomen ini sedang berlaku di seluruh negara. Malah, beberapa hari lalu di Melaka, iaitu sebuah negeri yang dikatakan antara kubu kuat UMNO selepas Johor, puluhan ribu rakyat hadir ke majlis sambutan Aidilfitri PPBM. Ini adalah sesuatu yang saya sendiri tidak jangkakan semasa menubuhkan PPBM.
“Gelombang penolakan orang Melayu kepada UMNO sedang berlaku. Ini kerana bagi kebanyakan orang Melayu, UMNO yang dahulunya berjuang untuk membela nasib orang Melayu, kini telah berubah menjadi parti yang membela kepentingan seorang individu, iaitu Presiden parti UMNO.
“Ketika orang Melayu sedang dihimpit masalah bebanan hidup yang paling teruk dalam sejarah negara, pemimpin UMNO lebih sibuk membela Presiden mereka yang terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan daripada membela nasib orang Melayu,” katanya.
Muhyiddin berkata, pemimpin UMNO lebih banyak mengecam Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat kerana mengambil tindakan undang-undang terhadap petualang 1MDB daripada mendesak kerajaan supaya menghapuskan GST, mengawal harga barang, menghentikan pengenalan cukai baharu, menyediakan biasiswa pendidikan kepada pelajar Melayu, menambahkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Melayu dan mempertahankan bahasa Melayu.
“UMNO telah berubah daripada sebuah parti Melayu kepada parti yang membela seorang individu. Kerana itu ramai ahli-ahli UMNO di akar umbi telah menyertai PPBM kerena mereka tidak lagi mempercayai UMNO. Bagi mereka, UMNO telah mengkhianati perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Justeru, tidak ada sebab lagi untuk orang Melayu menyokong UMNO dan mereka telah berhijrah menyokong PPBM.
“Apa yang saya katakan sebagai ‘trust deficit’ orang Melayu terhadap UMNO sedang berlaku dengan pantas. Saya percaya, gelombang defisit kepercayaan Melayu ini akan bertukar menjadi tsunami Melayu yang besar dalam pilihanraya umum ke-14 dan menyaksikan perubahan kerajaan selepas itu,” katanya.
Justeru, katanya, Zahid, Khairy dan Razali yang juga rakannya ketika beliau di dalam UMNO dahulu dan tidak berdendam dengan mereka, kini semakin gusar.
“Cuma, saya ingin memperkatakan sesuatu. Saya tahu bahawa mereka semua tahu masalah sebenar yang melanda UMNO. Ketika saya di dalam UMNO dahulu, ada antara mereka yang datang berjumpa saya untuk memberitahu masalah yang dihadapi oleh UMNO dan meminta saya melakukan sesuatu. Mereka katakan kepada saya, jika saya sebagai Timbalan Presiden UMNO pada ketika itu tidak melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan, negara akan hancur.
“Namun yang anehnya, saya dan mereka mengambil jalan yang berbeza. Saya pun tahu masalah besar yang melanda UMNO dan negara ketika itu. Saya tiada jalan lain untuk melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang pemimpin parti dan kerajaan selain memilih untuk bersuara menyatakan kebenaran walaupun pahit.
“Saya menggunakan platform parti untuk menegur pucuk pimpinan parti supaya memperbetulkan keadaan dengan harapan langkah pembetulan dilakukan segera dan negara kita tidak terjerumus ke dalam lembah bahaya yang akan menyebabkan rakyat menanggung derita.
“Sebaliknya, mereka semua memilih untuk berdiam diri dan menutup kebenaran. Bukan setakat itu sahaja, mereka kemudiannya menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada pemimpin parti yang mereka sendiri tahu telah melakukan satu kerosakan yang amat besar kepada negara. Akhirnya, mereka kekal di dalam UMNO dengan segala pangkat, kedudukan dan jawatan mereka,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau kecewa apabila Khairy mendesak Tun Dr Mahathir supaya bersara, sedangkan beliau meletakkan harapan tinggi kepada Ketua Pemuda UMNO itu sebagai pemimpin yang sepatutnya sarat dengan idealisme orang muda, sewajarnya mendesak Najib supaya berundur.
“Mendesak seorang pemimpin parti pembangkang yang tidak mempunyai apa-apa kuasa supaya bersara bukanlah satu bentuk keberanian. Sebaliknya mendesak Najib yang mempunyai segala kuasa di tangannya supaya berundur dan bersara adalah lambang keberanian anak muda yang sebenarnya.
“Adakah Khairy dan barisan kepimpinan sayap Pemuda UMNO masih memiliki idealisme pemuda? Atau adakah idealisme Pemuda UMNO telah hilang entah ke mana kerana dijangkiti virus Cash is King?
“Insya-Allah, tsunami Melayu yang dicetuskan oleh PPBM akan meranapkan virus Cash is King yang sedang dideritai oleh UMNO dan memulihkan kembali negara kita yang tercinta,” katanya.
The post UMNO semakin gelabah, Tsunami Melayu tak dapat dihalang, kata Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di UMNO semakin gelabah, Tsunami Melayu tak dapat dihalang, kata Muhyiddin
0 Komentar untuk "UMNO semakin gelabah, Tsunami Melayu tak dapat dihalang, kata Muhyiddin"