KUALA LUMPUR, 18 Syawal 1438H, Rabu – Pelaburan kerajaan sebanyak RM5.58 bilion sejak 2007 hingga 2015 dalam lima universiti penyelidikan di negara ini, menjana pulangan RM7.17 bilion.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ia adalah pulangan pelaburan penyelidikan yang dihasilkan daripada pelbagai aspek dan bidang termasuk penerbitan buku, penyediaan latihan, dan perkhidmatan pakar runding.
“Kejayaan ini sekali gus membuka mata universiti terkemuka dunia untuk bekerjasama dengan universiti tempatan dalam pelbagai bidang penyelidikan.
“Pencapaian itu juga membolehkan kajian dan penyelidikan universiti-universiti tempatan dijadikan sumber rujukan oleh universiti luar,” katanya ditemui sebelum program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel malam tadi.
Lima universiti berstatus universiti penyelidikan di Malaysia ialah Universiti Malaya (UM) , Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Idris berkata, selain meningkatkan reputasi pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa, ia juga mampu menarik kemasukan pensyarah dan pelajar asing untuk bekerja dan belajar di universiti tempatan. Universiti penyelidikan berkenaan mempunyai fokus penyelidikan tersendiri yang mampu menjadi penyelesaian kepada isu nasional dan antarabangsa.
“Sebagai contoh, Universiti Malaya melakukan penyelidikan prostetik bionik yang memberi sumbangan dalam bidang kesihatan; Universiti Sains Malaysia dalam bidang arkeologi dan Universiti Putra Malaysia melalui penghasilan padi U-Putra yang berupaya meningkatkan hasil padi kepada 30 peratus dalam bidang pertanian,” jelasnya.
Idris berkata, KPT berharap agar universiti penyelidikan Malaysia dapat meneruskan usaha pembudayaan penghasilan penyelidikan berimpak tinggi dan meningkatkan kerjasama bersama industri bagi mencapai sasaran yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
Katanya, kementerian mahu meningkatkan usaha-usaha dalam bidang pengajaran dan pembelajaran selain memastikan penyelidikan memberi sumbangan dan manfaat kepada masyarakat. – Bernama
The post Universiti penyelidikan jana pulangan RM7.17b appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Universiti penyelidikan jana pulangan RM7.17b
0 Komentar untuk "Universiti penyelidikan jana pulangan RM7.17b"