Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 15 Zulkaedah 1438H, Selasa – Kementerian Kewangan perlu melaporkan perkembangan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari semasa ke semasa di Parlimen, sebagai langkah yang disyorkan oleh PAS dalam menyelesaikan isu syarikat pelaburan bermasalah itu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan berkata, beberapa pendirian dibuat oleh parti itu susulan daripada pertemuan meja bulat dengan pengurusan 1MDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy semalam.
Beliau berkata, kaedah pembentangan perkembangan isu 1MDB itu adalah bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen mengetahui dan memantau aset-aset tersebut, sekali gus mengelakkan tidak timbul sebarang masalah baru sekiranya gagal dikawal.
Katanya, selain langkah itu, PAS turut mencadangkan sekali lagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebagaimana yang dibawa oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Oktober 2015 lalu.
Jelas Nasrudin, penubuhan RCI itu adalah untuk menyiasat perkara yang mencetuskan kemelut dalam isu 1MDB, khususnya sebelum Arul Kanda diterima masuk dan membuat Pelan Rasionalisasi terhadap syarikat itu.
“PAC tidak boleh menyelesaikan masalah, justeru ia hanya satu badan yang dianggotai oleh lapan ahli parlimen BN dan lima daripada pembangkang, dan hanya mempunyai bidang kuasa menyiasat.
“Dengan penuh hormat kepada agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia, SPRM, Polis, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Audit Negara, PAS melihat bahawa perlunya RCI ditubuhkan juga dan ini sahaja jalan keluar yang ada bagi mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Meskipun berdepan pelbagai kritikan ekoran kelewatan menjelaskan bayaran kepada firma Abu Dhabi minggu lalu, namun PAS mengharapkan supaya 1MDB diberi peluan menyelesaikan hutang yang ditanggung tersebut.
Beliau berkata, kelewatan menjelaskan hutang berkenaan akan menyebabkan kos faedah yang dikenakan terhadap syarikat itu menjadi sangat besar mencecah AS$ 1.9 bilion setahun.
“PAS mengharapkan tidak banyak campurtangan politik yang mengganggu Pelan Rasionalisasi yang telah pun dikemukakan.
“Kita mahu isu ini diselesaikan dengan rakyat tidak dibebankan. Selain itu, sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, kita tidak mahu isu 1MDB membuka jalan bagi mengundang campurtangan asing dan kita mahu diselesaikan segera di peringkat dalaman negara.
“Bebaskan institusi kehakiman dan penguatkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan kepada pihak yang terlibat,” katanya.
The post 1MDB: Menteri Kewangan perlu lapor kepada Parlimen appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di 1MDB: Menteri Kewangan perlu lapor kepada Parlimen
0 Komentar untuk "1MDB: Menteri Kewangan perlu lapor kepada Parlimen"