Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 17 Zulkaedah 1438H, Khamis – Orang Islam yang mengisytiharkan dirinya ateis melakukan penghinaan paling besar terhadap Islam serta Allah SWT, kerana secara berani dan terang-terangan menolak kewujudan Tuhan, termasuk hidup beragama.
Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata, kumpulan fahaman ateis ini mengatakan bahawa dunia tidak mempunyai Tuhan yang mencipta, sebaliknya ia terjadi dengan sendiri.
“Pernah di zaman Imam Abu Hanifah, telah ada sekumpulan kecil golongan ateis ini mengajak kepada perdebatan bersama beliau. Pada masa yang ditentukan, beliau sengaja hadir lewat. Mereka menunggu dan menunggu, sehingga akhirnya mereka mencela sang Imam, ulama jenis apakah ini tidak tahu menepati masa dan seumpamanya.
“Akhirnya, sang Imam muncul. Selepas ditanya mengapa lewat, beliau menceritakan alasannya. Untuk ke tempat tersebut beliau perlu melalui sebatang sungai. Kebetulan bot yang sepatutnya ada tidak muncul. Secara tiba-tiba sebatang pohon tumbang, lalu kayu-kayunya membentuk lantai dan dinding bot. Dedaun serta akarnya pula menjadi tali untuk mengikat kayu-kayu tadi.
“Lalu dalam masa singkat terbentuklah bot tersebut yang boleh digunakannya untuk menyeberang. Mereka tertawa dan menempelak. Lantas beliau tegas menjawab, bagaimana jika bot sebegitu pun kamu mengetahui ada yang membuatnya dan tidak mungkin terjadi sendiri, inikan pula alam buana yang luas terbentang ini. Mereka langsung terdiam,” katanya.
Menyifatkan fahaman ateis berbahaya dan boleh mengelirukan masyarakat, Omar Kassim berkata, golongan itu sebenarnya ingin membebaskan diri daripada ajaran Tuhan dan mengamalkan hidup bebas tanpa batasan.
“Mereka menuduh agama ini mengongkong dan ingin keluar daripada kongkongan agama. Namun, mereka lupa bahawa yang Maha Mencipta sudah tentulah lebih mengetahui apakah yang terbaik untuk manusia.
“Justeru, Allah menurunkan kitab-kitabNya dan mengutus para Rasul untuk menerangkan tatasusila hidup beragama yang diredhaiNya untuk selamat dunia akhirat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyokong gesaan kerajaan sebelum ini yang mahu tindakan tegas diambil bagi membendung golongan ateis di negara ini.
Katanya, aktiviti pemulihan serta pencegahan juga perlu dilakukan segera, di samping menggesa semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan NGO memainkan peranan.
“Inilah kesan daripada arus liberal yang kian menebal dalam masyarakat Islam, yang ingin mencabut umat Islam ini dari akarnya yang asal iaitu kepercayaan dan keimanan yang tulus terhadap Allah SWT.
“Antara jalan penyelesaian lagi ialah mempermudahkan pengajian aqidah yang perlu disampaikan di semua peringkat, khususnya golongan muda bagi menangani masalah yang kian parah ini. Semoga Allah mengurniakan kita semua dengan segala kekuatan dan kesungguhan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan mengenai dakwaan sekumpulan anak Melayu beragama Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.
Kumpulan itu dipercayai terdiri daripada orang Melayu dan Islam yang menggelar diri mereka sebagai ‘bekas Muslim’ serta didakwa mengadakan pertemuan secara tertutup di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
The post Ateis penghinaan besar terhadap Islam, Allah, mesti dihapuskan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ateis penghinaan besar terhadap Islam, Allah, mesti dihapuskan
0 Komentar untuk "Ateis penghinaan besar terhadap Islam, Allah, mesti dihapuskan"