KUALA LUMPUR, 14 Zulkaedah 1438H, Isnin – Kos guaman kes saman fitnah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dibiayai daripada sumbangan ahli parti itu.
Demikian tegas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai menjawab dakwaan laporan Rewcastle-Brown yang mempersoalkan bagaimana parti itu mampu membayar kos guaman saman fitnah terhadap portal berkenaan di United Kingdom, menelan belanja sehingga RM600,000.
“Jangan takut kita dapat dana dari mana, yang pasti bukan dari UMNO. Kita dah isytihar dalam program kita, ahli PAS wajib memberi sumbangan sebanyak RM5.
“Dalam setiap program kita lancar tabung, jadi duit saman adalah dari poket ahli PAS,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, sumbangan terhadap kos itu adalah kerana perasaan cinta dan tanggungjawab ahli parti kepada PAS.
“Ia juga sebagai tanda kemarahan terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Presiden Pas,” katanya.
Abdul Hadi memfailkan prosiding fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London dan telah menyerahkan saman itu, pada April lalu.
Ia bertujuan mendapatkan ganti rugi dan perintah injunksi berikutan penyiaran satu artikel dalam portal Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many other Criminal Connections – COMMENT”, yang mendakwa Abdul Hadi mendapat dana daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
The post Dana kes saman fitnah Hadi Awang bukan dari UMNO: PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Dana kes saman fitnah Hadi Awang bukan dari UMNO: PAS
0 Komentar untuk "Dana kes saman fitnah Hadi Awang bukan dari UMNO: PAS"