PUTRAJAYA, 22 Zulkaedah 1438H, Selasa – Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad sekali lagi hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini bagi memberi keterangan berhubung kes pembelian dua hotel di Britain dan Kuching, Sarawak.
Beliau sebelum ini, pernah hadir bersama isteri di pejabat SPRM di sini bagi membantu siasatan berhubung kemelut yang berlaku dalam kepimpinan FGV.
Terdahulu, hari ini, unit pelaburan Felda – Felda Investment Corp’s (FIC) – mengumumkan peletakan jawatan Isa sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya.
Bagaimanapun, kehadiran Isa hari ini di ibu pejabat SPRM adalah untuk membantu siasatan terhadap pembelian hotel di London dan Sarawak oleh unit pelaburan Felda, Felda Investment Corporation (FIC).
Isa adalah antara individu yang termasuk dalam senarai saksi-saksi utama untuk memberi keterangan oleh SPRM berhubung pembelian dua buah hotel itu.
Minggu lalu, tiga individu penting membabitkan bekas Ahli Lembaga Pengarah FIC, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid dan Datuk Dr Omar Salim serta Pengarah FIC, Datuk Nik Azman Mohamed Zain dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad memaklumkan bahawa beberapa saksi utama akan dipanggil sepanjang beberapa minggu bagi melengkapkan kertas siasatan terhadap FIC, khususnya membabitkan pembelian hotel di Kuching, Sarawak.
Hotel bertaraf empat bintang pada 2014 itu, dipercayai dibeli oleh FIC dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga asal.
Siasatan berhubung pembelian hotel tersebut dibuat susulan daripada siasatan SPRM berkaitan dengan pembelian hotel oleh FIC di kota London antara tahun 2013 dan 2015.
The post Isa Samad beri keterangan kepada SPRM kes pelaburan Felda appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Isa Samad beri keterangan kepada SPRM kes pelaburan Felda
0 Komentar untuk "Isa Samad beri keterangan kepada SPRM kes pelaburan Felda"