Gema Semua Maklumat

Pemuda Tonggak Semangat Kemerdekaan (Bahagian 1)

Pemuda Tonggak Semangat Kemerdekaan (Bahagian 1)

KETIBAAN bulan kemerdekaan adalah pentas strategik untuk kita sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara melakukan muhasabah dan koreksi. Dalam kesibukan mengejar kemajuan materialistik dan pembangunan modal insan, sungguh ada keperluan mendesak untuk kita melihat sejenak ke belakang dan mengkaji sejarah kemerdekaan negara yang kian dilupakan, sebagaimana seorang pemandu kereta yang sesekali menjeling ke arah cermin pandang belakang ketika meluncur laju.

Bukankah realiti hari ini natijah masa silam?

Sebagai contoh, jika kita menangisi kebejatan sosial dan keruntuhan akhlak yang menimpa generasi muda negara hari ini, sedarlah ia tidak berlaku dalam tempoh masa yang singkat. Malah, proses penjajahan yang panjang telah menyebabkan peleburan fikrah dan identiti melalui sistem pendidikan, pemaksaan budaya dan cara hidup asing yang berterusan, serta pembentukan sistem ekonomi berasas kaum yang berat sebelah.

Lebih parah, kuasa penjajah secara sangat terancang menyembunyikan sejarah kehebatan bangsa, menuduh pejuang Melayu Islam sebagai pemberontak serta menafikan estetika seni dan kehalusan budaya penduduk pribumi. Lantas, kita menjadi generasi yang hilang identiti, hilang kemegahan, hilang tokoh kebanggaan dan hilang zaman kegemilangan.

Benarlah pepatah Afrika yang menyebut,’Sehinggalah sang singa belajar menulis, setiap cerita pasti akan mengagungkan si pemburu’.

Methodologi Mencetus Kesedaran

Usaha menulis, berpidato, berkempen dan berkolokium untuk menyedarkan generasi muda mengenai sejarah dan makna kemerdekaan perlu diperkasa dan diberikan penumpuan. Ini boleh dilakukan melalui dua strategi utama:

Pertama, keperitan perjuangan para tokoh pejuang kemerdekaan perlu diangkat dan dinaratifkan semula dalam bentuk yang interakrif dan terkini. Tulisan sejarah perlu diperbetul dan diberi nafas baharu, selari dengan perkembangan dunia teknologi dan kepantasan media sosial hari ini. Mereka bukan pemberontak sebaliknya ulama yang berilmu dan berkredibiliti tinggi serta bersemangat waja mempertahankan tanah air daripada diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kuasa luar yang rakus dan berniat jahat.

Kegagalan menyemai kesedaran inilah yang membuatkan anak muda negara terus menerus hidup dalam zon selasa dan mengangkat tokoh yang salah sebagai idola hidup, contohnya Justin Bieber, Selena Gomez, Miley Cyrus, artis-artis K-Pop, Bollywood dan banyak lagi.

Nama-nama seperti Dol Said, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela, Sharif Masahor, Rentap dan Mat Salleh akan terus luput dimamah waktu tanpa usaha serius untuk memartabatkan perjuangan mereka semula.

Kedua, kekayaan seni budaya bangsa Melayu sama ada adab sopan, busana, seni persembahan, seni tampak dan seni mempertahankan diri yang tidak bercanggah dengan Islam perlu dihidupkan kembali dalam bentuk yang praktikal dan bersepadu. Realitinya, rata-rata anak muda hari ini menganggap semua elemen kesenian di atas lapuk, ketinggalan zaman dan selayaknya berada di muzium sebagai bahan tatapan generasi akan datang. Hakikatnya, pendapat sebegini lahir daripada minda yang kalah dan terjajah.

Sebagai contoh berapa ramai generasi muda hari ini yang pernah menyaksikan persembahan makyong, wayang kulit, ghazal, hadrah dan kuda kepang? Atau, pernah cuba menguasai seni ukir, seni bina, seni hias, pertukangan tangan, tenunan dan anyaman? Atau pernah belajar permainan tradisi seperti gasing, wau dan congkak?
Ya, mungkin terlalu sedikit daripada kalangan belia yang berpengalaman menyaksikan dan melakukan sendiri aktiviti-aktiviti di atas. Apatah lagi untuk menjiwai dan menjadikannya sebahagian dari cara hidup, kebanggaan dan identiti diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Suka atau tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa sistem yang mengawal perjalanan kehidupan hari ini menyebabkan kita lebih mengagungkan kot dan tali leher, berbanding baju Melayu dan tengkolok, muzik R&B dan rock berbanding gamelan dan ghazal, karate dan judo berbanding seni silat Melayu.

Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan aktif untuk menyemai identiti kemelayuan asli melalui pendidikan awal kanak-kanak, sistem persekolahan, inisiatif dan polisi kerajaan serta peranan masyarakat dan NGO.

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Ketua Biro Latihan Kepimpinan

The post Pemuda Tonggak Semangat Kemerdekaan (Bahagian 1) appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pemuda Tonggak Semangat Kemerdekaan (Bahagian 1)
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Pemuda Tonggak Semangat Kemerdekaan (Bahagian 1)"

Back To Top