Gema Semua Maklumat

Pindaan Akta 164 terpakai kepada bukan Islam, kekal fatwa status agama anak

Pindaan Akta 164 terpakai kepada bukan Islam, kekal fatwa status agama anak

BANGI, 22 Zulkaedah 1438H, Selasa – Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini, hanya terpakai kepada orang bukan Islam, manakala orang Islam tetap terikat dengan hukum syarak.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan semua pihak, khususnya umat Islam supaya memahami dengan menyeluruh dan lengkap mengenai pindaan itu, yang masih mengekalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berhubung agama anak.

Katanya, pindaan Akta 164 dibuat bertujuan memberi keadilan kepada pihak yang memeluk Islam, supaya memperoleh hak memfailkan permohonan perceraian dan menyelesaikan segala urusan berkaitan perkahwinan mengikut undang-undang sivil.

Beliau berkata, jika pindaan tidak dibuat, pasangan yang memeluk Islam akan teraniaya kerana tidak boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan sebelum memeluk Islam.

“Seksyen 51 Akta 164 (sebelum pindaan) hanya membenarkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan bagi pasangan yang tidak beragama Islam sahaja.

“Pada masa sama pasangan yang memeluk Islam juga tidak boleh memohon kepada Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa mendengar permohonan pembubaran perkahwinan orang bukan Islam yang dibuat di bawah undang-undang sivil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memberi contoh:

“John dan Betty pasangan bukan Islam yang mempunyai 2 anak. John kemudiannya memeluk Islam untuk berkahwin dengan Salmah. Johan (nama Islam John) tidak boleh memfailkan perceraian di Mahkamah Sivil kerana Akta 164 sebelum pindaan hanya terpakai kepada orang bukan Islam dan hanya isterinya yang bukan Islam sahaja yang boleh memohon. Pemelukan Islam tidak membubar perkahwinan secara automatik dan selagi perkahwinan tersebut tidak dibubar, Johan masih dianggap suami kepada Betty. Jika Johan meninggal dunia, Betty adalah balu yang boleh menuntut pencen dan pusaka Johan.”

Berhubung agama anak pula, Asyraf berkata, draf awal pindaan Akta 164 mengandungi Seksyen 88A bercanggah dengan hukum syarak, sebagaimana diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Jun 2009 yang menyatakan ‘bahawa apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa yang memeluk Islam, status agama anak-anak di bawah umur adalah Islam dan ia diterima dalam negara’.

Mengambil kira pandangan Mufti-Mufti Kerajaan Negeri yang bermesyuarat pada 17 Julai lalu, beliau berkata, Seksyen 88A itu digugurkan dan rang undang-undang pindaan baharu dibentangkan dan diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Persoalan tentang status agama anak adalah tidak berbangkit lagi dalam pindaan Akta 164 ini kerana Seksyen 88A (berkaitan status agama anak mengikut perkahwinan asal tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur 18 tahun), telah digugur daripada pindaan yang baharu. Justeru, pindaan Akta 164 tiada kaitan dengan penentuan agama anak di bawah umur 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata, sebelum pindaan akta itu, Perkara 12(4) dalam peruntukan Perlembagaan menyatakan bahawa agama seseorang yang dibawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

Asyraf juga menafikan pindaan akta itu mengurangkan kuasa Mahkamah Syariah untuk mengesahkan perceraian sekiranya dimohon oleh pihak yang memeluk agama Islam mengikut Seksyen 46 Undang-Undang Keluarga Islam.

“Pindaan yang dicadangkan membolehkan pasangan yang memeluk Islam membubarkan perkahwinan yang dilangsungkan di bawah Akta 164 sebelum dia memeluk Islam sekali gus menuntut hak-haknya yang berkaitan. Umat Islam masih tetap tertakluk kepada Undang-Undang Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau juga berkata, pindaan itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan di mana Perkara 121 (1A) menghalang mahkamah sivil daripada mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah, dan hakikatnya pindaan Seksyen 51 Akta 164 ini tidak membabitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

The post Pindaan Akta 164 terpakai kepada bukan Islam, kekal fatwa status agama anak appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pindaan Akta 164 terpakai kepada bukan Islam, kekal fatwa status agama anak
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Pindaan Akta 164 terpakai kepada bukan Islam, kekal fatwa status agama anak"

Back To Top