KOTA BHARU, 8 Zulkaedah 1438H, Selasa – Dewan Muslimat PAS Pusat kesal dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang meluluskan anak luar nikah dibinkan atau dibintikan kepada nama bapa biologi kerana ia sangat jelas bertentangan dengan hukum yang termaktub dalam al-Quran.
Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, al-Quran jelas mengharamkan hal ini kerana ia boleh memberi kesan kepada kesahtarafan anak, hak pewarisan, isu nafaqqah, status wali, isu muharramat (orang yang haram dikahwini) dan memusnahkan institusi kekeluargaan Islam.
“Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 5 bermaksud, ‘Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka. Ituah yang lebih adil pada sisi Allah dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudara seagamamu dan maula-maulamu’,” katanya.
Bahkan jelasnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah menetapkan anak yang lahir selepas 6 bulan qamariah hasil daripada pernikahan yang sah sahaja layak dibinkan dengan bapa biologinya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keputusan itu tidak wajar disokong oleh mana-mana pihak.
Pendirian tegas lain juga perlu disuarakan pihak mufti, agamawan dan NGO Islam demi menjaga kemaslahatan agama.
“Rayuan yang difailkan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui Jabatan Peguam Negara perlu diteliti dan kami mendesak Mahkamah Persekutuan tidak meluluskan permohonan Mahmakah Rayuan tersebut,” katanya.
The post Isu nasab: Keputusan Mahkamah Rayuan jelas bertentangan dengan al-Quran appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Isu nasab: Keputusan Mahkamah Rayuan jelas bertentangan dengan al-Quran
0 Komentar untuk "Isu nasab: Keputusan Mahkamah Rayuan jelas bertentangan dengan al-Quran"