Gema Semua Maklumat

Jenazah pelajar lemas di Jepun dibawa pulang Rabu

Jenazah pelajar lemas di Jepun dibawa pulang Rabu

KUALA LUMPUR, 11 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Anggota keluarga Muhammad Amirul Ashraf Abdullah yang lemas ketika berkelah di Sungai Arakawa, Saitama, Jepun, semalam akan berangkat ke negara itu malam ini untuk urusan menuntut dan membawa pulang jenazah.

Pengarah Projek Malaysia-Japan Higher Education, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Mat Zailani Mat Nawawi berkata ibu Muhammad Amirul Ashraf, 21, iaitu Junaidah Mat Ali, 43, dan bapa saudaranya serta seorang pegawai YPM akan berlepas ke Jepun pada 11.30 malam ini.

“Apabila anggota keluarga tiba di Jepun, mereka akan dibawa ke tempat jenazah ditempatkan dan pihak Kedutaan Malaysia di sana akan membantu proses tuntutan.

“YPM bersama pelajar yang berada di Jepun akan turut membantu proses mengurus jenazah seperti memandikan serta mengafankannya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mat Zailani berkata jenazah dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada Rabu atau Khamis bergantung kepada jadual penerbangan serta prosedur sedia ada yang ditetapkan negara itu.

“Pihak kedutaan dan YPM akan pastikan urusan membawa pulang jenazah dapat dilakukan dengan lebih cepat. Selain itu, YPM juga akan membantu keluarga Allahyarham untuk urusan pengebumian apabila jenazah tiba di tanah air,” kata Mat Zailani.

Sementara itu, Junaidah berkata, Muhammad Amirul Ashraf merupakan satu-satunya anak lelakinya dan perwatakannya disenangi oleh adik-beradiknya yang lain.

“Dia merupakan anak harapan dan tidak banyak kerenah serta disayangi orang ramai. Saya dimaklumkan mengenai insiden terbabit oleh adik selepas YPM menghubunginya.

“Kami sekeluarga redha atas pemergiannya, fokus sekarang adalah membawa pulang jenazah untuk dikebumikan,” kata Junaidah.

Semalam, Muhammad Amirul Ashraf yang menyertai perkelahan bersama 10 rakan selepas tamat peperiksaan kira-kira 4 petang di Sungai Arakawa, Saitama, Jepun lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Allahyarham merupakan pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan mekanikal informatiks di Universiti Meiji, Tokyo tajaan YPM.

The post Jenazah pelajar lemas di Jepun dibawa pulang Rabu appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jenazah pelajar lemas di Jepun dibawa pulang Rabu
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Jenazah pelajar lemas di Jepun dibawa pulang Rabu"

Back To Top