Gema Semua Maklumat

Jika tidak boleh menyenangkan ibu bapa janganlah menyusahkan mereka

Jika tidak boleh menyenangkan ibu bapa janganlah menyusahkan mereka

JIKA mengikut perkiraan kalendar Masehi, hari ini 28 Ogos 1960 atau bersamaan 6 Rabiulawwal 1380 Hijrah hari Ahad. Tapi hari ini, 28 Ogos 2017 adalah bersamaan dengan 6 Zulhijjah 1438H hari Isnin. Tak kiralah kenapa ada perbezaan. Lagipun, dari awal lagi perkiraan hari antara kalendar Hijrah dan Masehi memang berbeza.

Pedang keluar ke atas muka bumi Allah ini tanggal 6 Rabiulawwal 1380H selepas sembilan bulan 10 hari hidup dalam perut seorang wanita yang dipanggil IBU. Selama tempoh itulah, ibu membawa Pedang ke mana sahaja beliau pergi – bekerja mengikut ayah ke bendang atau ke kebun getah.

Tapi hidup ayah tidak lama. Ayah sempat mencurahkan kasih sayang sehingga Pedang berusia kira-kira lima tahun, sebelum Illahi menjemputnya. Namun, Pedang masih ingat, tiap kali sebelum tidur malam, ayah akan sentiasa mengajar Pedang patah perkataan alif, ba, ta sehingga seterusnya. Ayah juga membacakan buku-buku cerita hingga Pedang terlena.

Walau tidak lama bersama ayah, Pedang tetap mengenang jasanya ketika membesarkan Pedang. Sebagai anak, Pedang sentiasa berdoa semoga Allah menempatkan roh ayah bersama orang yang beriman, kelak dimasukkan ke syurga.

Ketika hayatnya, beliau tidak sempat ke rumah Allah. Jadi bila Pedang ada kesempatan ke Makkah, Pedang tak lupa mengerjakan umrah buat arwah ayah sebagai membalas jasanya. Adik beradik Pedang upah orang buatkan haji untuknya. Bersedekah bagi pihaknya. Berusaha menjadi anak yang soleh.

Apa lagi yang boleh Pedang lakukan kerana beliau sudah tiada. Semoga Allah mengasihinya sebagaimana beliau mengasihani Pedang ketika Pedang masih kecil.

Hanya sehingga kira-kira usia lima tahun saja Pedang menerima kasih sayang ayah. Orang lain, mungkin ada yang tidak sempat pun mendapat kasih sayang ayah, sebagaimana Rasulullah SAW. Baginda masih di dalam perut Aminah, tatkala ayahnya Abdullah meninggal dunia. Pada usia 6 tahun ibu baginda pula meninggal dunia.

Atau ada mereka yang sehingga usia puluhan tahun, ayah dan ibu mereka masih tetap bersama.

Selepas ketiadaan ayah, ibulah yang membesarkan Pedang. Menjadi teman Pedang, merawat Pedang jika sakit, memandikan Pedang, memakaikan pakaian untuk Pedang. Dan, bermacam-macam lagi kasih sayang yang ibu curahkan dari Pedang kecil hingga sekarang, hinggalah Pedang sendiri ada anak-anak.

Namun, hari ini sudah ada anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa. Memukul ibu bapa sendiri hingga berdarah-darah. Malah, ada anak yang sanggup menyebabkan ibu bapanya mati. Ada juga anak yang tak sanggup membela ibu bapa sendiri, lalu dihantar ke rumah orang tua-tua.

Dulu masa kecil, rumah ibu rumah anak-anak, bila dah dewasa dan berkeluarga, rumah anak-anak bukan rumah ibu. Pedang sedih bila ada anak-anak yang melawan ibu atau enggan menjaga mereka apabila mereka tua. Dulu tangan ibulah yang menyuap makanan kepada kita, yang bersengkang mata bila kita sakit.

Tapi ibu tetap senyum dan mendoakan kebahagiaan anak-anak. Alhamdulillah anak-anak Pedang tak macam tu. Mudah-mudahan ianya berterusan.

Kalau tidak boleh menyenangkan ibu, janganlah menyusahkan beliau. Kena ingat, seorang ibu yang kuat imannya dan takut kepada Allah, tidak akan menyusahkan anak-anak, malah berdoa, bermunajat kepada Allah supaya anak-anaknya diberi kesenangan dunia dan akhirat.

Tapi Pedang ingatkan anak-anak yang melawan ibu bapa atau enggan menjaga mereka. Ada ubi ada batas. Tuhan Maha Adil. Tunggulah pembalasannya. Tak di dunia di akhirat. Tapi kalau di akhirat menangis pun dah tak berguna. Maka, hargailah ibu, jangan sakiti secara zahir atau batin walaupun sedikit.

Cuba hayati cerita ini yang dihantar rakan-rakan Pedang dalam kumpulan Whatsapp:

Petang itu saya menerima satu panggilan telefon. Pemanggil tersebut meminta saya menguruskan jenazah ibunya. Apabila sudah diamanahkan, tanpa berlengah saya bergegas ke rumah pemanggil tersebut yang letaknya tidak jauh dari kediaman saya. Saya tiba ketika hari sudah lewat petang. Orang ramai yang terdiri daripada sanak saudara, jiran tetangga dan kenalan sudah memenuhi kediaman tersebut.

Saya melangkah masuk, bertemu dengan suami dan anak-anak Allahyarhamah. Selepas berbicang, kami mendapat kata sepakat. Jenazah akan diuruskan keesokan harinya kerana hari sudah lewat bertukar malam.

Petang itu jenazah hanya dibersihkan dengan mengelap tubuhnya menggunakan kain sambil dibantu anak-anaknya seramai empat orang – dua lelaki dua perempuan. Semuanya sudah besar dan ada di antaranya sudah berkahwin.

Esoknya seawal pagi, saya tiba semula ke rumah tersebut. Apabila mahu memandikan jenazah, salah sorang anak datang pada saya. “Boleh tak kami nak mandikan sendiri jenazah ibu kami?” tanya si ank tadi.

“Boleh”, jawab saya. Senang hati mendengar permintaan si anak.

Memang itulah sebaik-baiknya. Lebih afdal anak sendiri yang uruskan jenazah ibu bapa mereka.

“Tapi ustazah, kami ni tak pandai. Kami tak tahu apa-apa, ustazah ajarlah kami”. Beritahu seorang lagi anak perempuan.

“Tak ada masalah. Saya boleh bagi tunjuk ajar,” jawab saya.

Ingatkan ank perempuan saja, rupanya dua anak lelaki dan suami Allahyarhamah mahu turut serta memandikannya.

Sudah itu permintaan mereka, saya setuju. Lagipun Islam tak melarang. Memang seorang suami boleh memandikan jenazah isterinya dan begitulah sebaliknya.

Namun, disebabkan anak-anak lelaki mahu memandikan sama-sama, saya terpaksa bahagikan tugas. Si suami saya minta bersihkan bahagian kepala, anak lelaki di bahagian kaki, dan anak perempuan dari bahagian badan membawa ke paha.

“Ambil sarung tangan ni seorang satu”. Ujar saya smbil menghulurkan sarung tangan getah untuk digunakan bagi memandikan jenazah. Tapi, suami dan anak-anak Allahyarhamah menolak.

“Masa kecil, ibu mandikan kami tak pernah pakai srung tangan. Kami tak mahu pakai.” Tolak si anak lembut.

Saya sedikit tersentak mendengar kata-kata itu. Kagum dengan jawapan anak. terharu saya mendengarnya.

Kemudian, saya pegang paip getah dan lalukan air ke muka jenazah. Si Suami mula bersihkan wajah isterinya. Ketika si suami membersihkan wajah isterinya, satu drama yang menyayat hati dan penuh emosi berlaku.

Sambil menggosok lembut wajah jenazah isterinya, si suami mengungkap kembali satu persatu segala kenangannya ketika mereka hidup bersama.

“Sayang…inilah wajah manis yang abang tatap masa hidup. Inilah wajah yang abang pernah sayang. Wajah yang pernah menjadi isteri abang,” tutur si suami sambil tangannya lembut membersihkan wajah jenazah isteri tercinta.

Selesai muka, suami tadi beralih pula ke mulut. Sekali lagi ungkapan manis terpacul dari mulut si suami.

“Sayang… inilah mulut yang selalu senyum pada abang. Inilah mulut yang selalu berbual dengan abang, hiburkan abang selama ini. Mulut yang berikan abang semangat ketika berdepan masalah,” ungkapnya dengan linangan air mata.

Saya yang menyaksikan tindakan spontan suami itu turut menjadi sebak, terharu mendengar kata-kata ikhlas dari suaminya. saya tahu si suami benar-benar sayangkan isterinya.

Selesai bahagian si ayah, dua anak perempuannya pula mengambil tempat. Sekali lagi hati saya tersentuh hingga menjadi sebak. Sambil membersihkan tangan si ibu, anaknya meluahkan segala jasa-jasa ibu mereka.

“Ibu, inilah tangan yang besarkan kami, didik kami, tangan inilah yang suapkan makanan ke mulut kami. Inilah tangan yang dodoikan kami, jari-jemari ini yang kesatkan air mata kami. Tangan ini juga yang dukung kami sewaktu kecil. Ibu, jasa ibu sangat besar,” kata seorang anak perempuannya. Air matanya masih mengalir.

Apabila sampai ke perut, seorang lagi anak perempuannya bersuara.

“Ibu, inilah perut yang mengandungkan kami. Terima kasih ibu lahirkan kami, didik dan besarkan kami,” ungkap si anak sambil air mata mereka terus berjejeran.

Bukan hanya mareka, saudara mara yang mnyaksikannya turut menangis. Apatah lagi saya yang berada di sisi mereka.

Sungguh, waktu itu terasa begitu hening. Suasana sangat pilu menyaksikan semua kata ikhlas ini dari suami dan anak-anak si mati.

Apabila selesai tugas anak prmpuan, anak lelaki pula melunaskan bahagian mereka. Sambil membersihkan kaki, mereka meluahkan segala jasa wanita yang melahirkan mereka.

“Ibu, inilah kaki yang berjalan mencari rezeki untuk kami. Kaki inilah yang besarkan kami. Kaki inilah yang bawa kami bersiar-siar, hiburkan kami. Jasa ibu tak terbalas. terima kasih ibu,” ujar anak lelaki dengan suara tersekat-sekat.

Menyaksikan semua itu, air mata saya tidak dapat dibendung lagi. Sesekali saya berpaling ke arah lain, mengesat air mata yang kian laju mengalir.

Sudah banyak jenazah yang saya uruskan. Tapi inilah kali pertama saya saksikan adengan yang meruntun jiwa. Hati saya tersentuh hiba.

Apabila semua anak sudah selesai, saya mengambil giliran semula mahu membersihkan bahagian dubur, tapi si suami menolak karana dia mahu lakukan sendiri.

“Ni isteri saya, biar saya yang buat. Ustazah ajarkan saya,” katanya.

Sekali lagi saya akur dengan kehendaknya. Saya arahkan si suami supaya menekan perut secara perlahan-lahan untuk mengeluarkan najis.

Ketika melakukannya, sekali lagi jiwa saya bagai dirobek-robek. Jiwa saya tersentuh mendengar lafaz ikhlas suami. Sambil menekan lembut perut isterinya, si suami bersuara lagi:

“Sayang, ini rahim yang melahirkan anak-anak kita, memberikan zuriat pada kita, terima kasih sayang.”

Sekali lagi air mata saya tertumpah. Di luar pula, air mata saudara mara yang menyaksikan drama itu semakin laju.

Saya tahu semua yang menyaksikannya terharu. Saya sendiri sebagai anak turut tersentuh dengan sikap keluarga. Sungguh suaminya memang seorang yang baik dan sangat menghormati jasa seorang wanita yang bergelar isteri.

Selesai dimandikan dengan drama-drama meruntun jiwa, jenazah dibawa ke ruang tamu untuk dikapankan pula.

Pun sama. Kerja ini dilakukan oleh anak-anak dan suami Allahyarham dengan tunjuk ajar saya. Walaupun mengambil masa agak lama, semuanya selesai dengan mudah sebelum jenazah dibawa masjid untuk disolatkan dan seterusnya ke tanah perkuburan.

Di masjid, si suami menjadi imam solat jenazah isteri. Di kuburan, anak-anak lelaki terjun dalam liang lahat menyambut jenazah ibu mereka. Meletakkannya perlahan-lahan sambil membuka kain kafan di bahagian muka. Merenung wajah ibu tersayang buat kali terakhir.

Selepas kubur dikambus dan suami saya hendak memulakan bacaan talkin, suami Allahyarhamah datang meminta izin.

“Ustaz, boleh ke saya nak bacakan talkin untuk isteri saya,” tanya si suami kepada suami saya.

Suami saya mengangguk dan si suami tadi mengambil tempat di sebelahnya. Dalam keadaan suara yang serak kerana masih bersedih, si suami tadi memulakan bacaan. Bacaan kali ini memang lain sekali daripada biasa.

“Sayang, hari ini adalah hari terakhir kamu di muka bumi ini. Kamu berpisah dengan anak-anak2. Kamu berpisah dengan abang. Sayang, malam ini abang akan berteman hanya dengan anak-anak di sisi abang. Sayang, malam ini abang akan tidur sendirian. Abang tidak akan melihat sayang lagi apabila abang menoleh ke sisi.

“Sayang, nanti akan datang malaikat mungkar dan nakir bertanya. Siapa Tuhan kamu? Siapa nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah kiblat kamu? Apakah pegangan iktikad kamu? Siapakah saudara-saudara kamu?

“Abang minta tolong dengan sayang. Jawablah dengan tenang, dengan lidah yang lancar. Bahawa Allah Tuhanku, Muhammad nabiku, Islam agamaku, al-Quran petunjukku, orang-orang Islam adalah saudara-saudaraku,” tutur si suami dengan sebak.

Di sambungnya lagi. “Nanti kita akan jumpa di syurga sayang. Tunggu abang di syurga. Abang akan tetap merindui hingga akhir hayat abang.”

Sungguh, waktu itu sekali lagi air mata saya berderai. Bukan saya sahaja, hadirin lain pun sekali lagi menangis. Saya tahu mereka menangis dan bersedih bukan kerana pemergian Allahyarhamah, tetapi tersentuh dengan kejadian itu.

Satu drama yang benar-benar berlaku, memperlihatkan kasih sayang, kejujuran, kesetiaan dan cinta yang tulus ikhlas daripada seorang suami kepada isteri. Kasih sayang antara anak-anak dan ibu dalam keluarga ini.

Saya benar-benar kagum dengan keluarga ini. Anak-anaknya bukanlah berpendidikan tinggi atau berlatarbelakangkan agama seperti bergelar ustaz atau ustazah. Tapi, semuanya mempunyai budi pekerti dan akhlak yang tinggi.

Lihat bagaimana mereka menghargai jasa seorang ibu sehingga ke akhir hayat. Sungguh, jenazah wanita itu seorang yang bertuah kerana memiliki suami dan anak-anak seperti itu.

Allahuakbar….

Kata Pedang: Dah lama Pedang tak sambut ‘birthday’ yang menjadi amalan kafir. Malah, Pedang pun nasihatkan rakan-rakan Pedang supaya tak ucapkan ‘Happy Birthday’ kepada Pedang hari ini. Kalau nak mengingati hari lahir Pedang, doakan yang baik-baik sahaja untuk Pedang.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

 

The post Jika tidak boleh menyenangkan ibu bapa janganlah menyusahkan mereka appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jika tidak boleh menyenangkan ibu bapa janganlah menyusahkan mereka
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Jika tidak boleh menyenangkan ibu bapa janganlah menyusahkan mereka"

Back To Top