Dalam PRU 13 lalu, kerusi N22 Gurun ditandingi oleh calon PKR, Salma Ismail, yang kalah dengan majoriti 1,296 undi di tangan calon BN, Leong Yong Kong. Begitu juga dengan kerusi N35 Kulim yang ditandingi oleh calon PKR, Chu Maw Nian, yang kalah dengan majoriti 643 undi di tangan calon BN, Chua Thiong Gee.
Tiba-tiba sahaja pada 18 Ogos lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, mengumumkan hasrat DAP untuk bertanding di kerusi N22 Gurun dan kerusi N35 Kulim milik PKR ini yang mendorong Naib Presiden PKR, Tian Chua, menasihatkan beliau, pada 20 Ogos lalu, supaya tidak membicarakan secara terbuka soal perebutan kerusi ini di samping mendorong Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul, menegaskan bahawa PKR akan mempertahankan kerusi N22 Gurun dan kerusi N35 Kulim ini.
Belum pun reda isu tuntutan kerusi N22 Gurun dan kerusi N35 Kulim milik PKR oleh Lim Kit Siang ini, hari ini sekali lagi Lim Kit Siang mengumumkan hasrat DAP untuk bertanding di salah satu daripada tiga kerusi Parlimen yang ada di dalam daerah Johor Bahru, iaitu termasuk kerusi Parlimen Johor Bahru sendiri.
Dalam PRU 13 lalu, kesemua tiga kerusi Parlimen yang ada di dalam daerah Johor Bahru ini ditandingi oleh calon-calon PKR. Kerusi P158 Tebrau ditandingi oleh Choong Shiau Yoon yang kalah dengan majoriti 1,767 undi di tangan calon BN, Khoo Soo Seang. Begitu juga dengan kerusi P159 Pasir Gudang yang ditandingi oleh Ahmad Faidhi Saidi yang kalah dengan majoriti 935 undi di tangan calon BN, Datuk Normala Abdul Samad, serta kerusi P160 Johor Bahru yang ditandingi oleh Md Hashim Hussein yang kalah dengan majoriti 10,495 undi di tangan calon BN, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Kita tunggu sahaja apa reaksi para pemimpin PKR terhadap tuntutan DAP ke atas kerusi mereka ini.
Komen saya sendiri pula ialah, tuntutan demi tuntutan Lim Kit Siang ini menggambarkan kerakusan tidak bertepi para pemimpin DAP, menggambarkan ketidakyakinan para pemimpin DAP terhadap rakan-rakan Pakatan Harapan mereka serta menggambarkan hasrat DAP untuk menonjolkan diri sebagai hero dan jaguh dalam Pakatan Harapan seolah-olah hanya DAP yang mampu melakukan apa yang tidak mampu dilakukan oleh pihak lain.
Kerakusan DAP ini bukan setakat di Semenanjung Malaysia sahaja, malah di Sabah dan Sarawak juga.
Di Sabah, sejak 30 Disember 2016 lagi Lim Kit Siang telah mengisytiharkan bahawa DAP akan menggandakan bilangan kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri yang akan ditandinginya dalam PRU 14.
Di Sarawak pula, sejak 30 April 2016 lagi Lim Kit Siang telah mengisytiharkan bahawa strategi DAP Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 adalah bagi menyediakan DAP Sarawak untuk memenangi Kerajaan Negeri Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021.
Kerakusan DAP ini juga bukan setakat diserlahkan oleh Lim Kit Siang dan ditumpukan ke atas PKR sahaja kerana ia juga pernah diserlahkan oleh pemimpin DAP lain ke atas parti komponen lain dalam Pakatan Harapan.
Contoh nyata ialah pengumuman Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, di dalam Konvensyen DAP Selangor pada 1 November 2015 bahawa beliau telah mengarahkan jentera DAP untuk membuat persiapan bagi membolehkan DAP bertanding di 8 kerusi PAS, iaitu Seri Serdang, Dusun Tua, Taman Templer, Tanjong Sepat, Chempaka, Lembah Jaya, Paya Jaras dan Meru, yang sekali gus menggambarkan ketidakyakinan para pemimpin DAP terhadap AMANAH yang sepatutnya bertanding di kerusi-kerusi tersebut.
Cukuplah di sini dulu, panjang lagi sebenarnya kalau nak cerita mengenai soal kerakusan DAP ini.
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM)
Dr Kamarul Zaman Yusoff
The post Kerakusan tak bertepi DAP terus terserlah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kerakusan tak bertepi DAP terus terserlah
0 Komentar untuk "Kerakusan tak bertepi DAP terus terserlah"