Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 21 Zulkaedah 1438H, Isnin – Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad diberi notis supaya hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, esok.
Sumber memberitahu Ismaweb.net, keterangan bekas Pengerusi Felda itu diperlukan sebagai sebahagian daripada siasatan SPRM terhadap pembelian hotel di Britain dan Sarawak oleh unit pelaburan Felda, Felda Investment Corporation (FIC).
Awal bulan ini, SPRM menangkap bekas pegawai khas Isa, Zahid Md Arip, 51, bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak.
SPRM memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching pada 2004, susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini.
Isa dilantik sebagai Pengerusi Felda pada Januari 2011, kemudian digantikan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, Januari lalu.
Beliau bagaimanapun, kekal sebagai Pengerusi FGV, sebelum meletak jawatan pada 19 Jun, tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus memberinya jawatan dengan melantiknya memangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Sehari selepas peletakan jawatan itu, Isa dan isteri, Puan Seri Bibi Shaliza Mohd Khalid dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan berkaitan rasuah serta salah guna kuasa.
Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad serta tiga pegawai pengurusan kanan FGV bercuti bermula 6 Jun lalu.
Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.
Penggantungan tugas mereka dikaitkan dengan siasatan membabitkan kelewatan pembayaran oleh sebuah syarikat Afghanistan, Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
Sehari selepas penggantungan itu iaitu pada 7 Jun, Zakaria mencabar Anggota Lembaga Pengarah FGV sama ada menyokong beliau atau Isa. Beliau juga menyerahkan beberapa dokumen kepada SPRM Putrajaya berhubung dakwaan salah urus perniagaan.
Kesan serta-merta terhadap FGV ialah kejatuhan harga sahamnya di Bursa Malaysia. Sebaik saja berita tindakan ke atas Zakaria itu tersebar, harga FGV merosot tujuh sen kepada RM1.60 sebelum urus niaga digantung. Pada 5 Jun harga saham FGV ialah RM1.82.
Harga tawaran awam permulaan (IPO) FGV ialah RM4.55 dan naik sehingga RM5.46 sen sebelum jatuh ke tahap sekarang.
Berikutan itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilantik sebagai pihak berkecuali bagi menyiasat dan mengumpul maklumat berkaitan kemelut dihadapi FGV.
Sebelum ini, SPRM sudah menangkap beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Felda merupakan pemegang saham terbesar FGV iaitu sebanyak 33 peratus.
The post Kes Felda beli hotel: SPRM panggil Isa Samad beri keterangan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kes Felda beli hotel: SPRM panggil Isa Samad beri keterangan
0 Komentar untuk "Kes Felda beli hotel: SPRM panggil Isa Samad beri keterangan"