SICHUAN, 16 Zulkaedah 1438H, Rabu – Sekurang-kurangnya lima pelancong terbunuh, manakala lebih 60 lagi cedera apabila gempa bumi kuat berukuran magnitud 7 menggegarkan destinasi pelancongan terkenal Jiuzhaigou di wilayah Sichuan, barat daya China, kira-kira jam 9.19 malam tadi.
Bagaimanapun, pihak berkuasa negara itu belum mengeluarkan kerakyatan pelancong terbabit, sementara agensi dari Hong Kong pula mengatakan pelancong mereka selamat.
Biro Gempa Sichuan berkata, sehingga jam 11 malam, lebih 100 pelancong terperangkap di satu kawasan tidak jauh dari Taman Negara Jiuzhaigou.
Gempa bumi itu berlaku tidak jauh dari taman negara berkenaan, di mana kakitangan taman yang bertugas memaklumkan rumah dan bangunan turut runtuh.
Gegaran turut dirasai di wilayah jiran, Gansu dan Shaanxi, selain ibu kota wilayah itu, Chengdu.
Pihak pengurusan taman negara itu memberitahu, kira-kira 38,799 pelancong melawat kawasan itu semalam.
Sichuan sentiasa terdedah kepada bencana geologi dan pernah mencatatkan jumlah kematian yang ramai akibat gempa bumi sebelum ini.
Pada Mei 2008, satu gempa bumi berukuran magnitud 8 menggegarkan wilayah itu menyebabkan hampir 70,000 orang terbunuh, manakala pada April 2013, kira-kira 200 maut dalam gempa berukuran magnitud 6.6. – Agensi
The post Lima pelancong maut gempa bumi gegar barat daya China appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Lima pelancong maut gempa bumi gegar barat daya China
0 Komentar untuk "Lima pelancong maut gempa bumi gegar barat daya China"