GEORGETOWN, 10 Zulkaedah 1438H, Khamis – Negara masih kekurangan pakar perubatan keluarga untuk ditempatkan di semua 967 klinik kesihatan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata sehubungan itu kementerian telah melakar pelbagai kaedah untuk menambah pakar perubatan keluarga bagi mencapai matlamat sekurang-kurangnya seorang hingga tiga orang pakar perubatan keluarga untuk satu klinik kesihatan.
“Kami melihat kepada keperluan seramai 2,800 pakar perubatan keluarga iaitu tiga orang pakar di sebuah klinik. Namun sehingga sekarang kita hanya ada 336 pakar perubatan keluarga yang ditempatkan di 258 klinik kesihatan,” katanya selepas merasmikan persidangan Pakar Perubatan Keluarga ke-20 di sini hari ini.
Beliau berkata antara kaedah yang dilaksanakan untuk menambah bilangan pakar itu ialah melalui program sarjana pakar perubatan keluarga iaitu seramai 80 hingga 90 doktor dipilih menyertai kursus selama empat tahun.
“Selain kursus, kami juga ada alternatif iaitu latihan peperiksaan luar negara yang dilaksanakan di Malaysia seperti FRACGP (Fellowship of the Royal Australian College of General Practitioners) untuk menambah bilangan pakar perubatan keluarga,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata fokus utama kementerian ialah kepada pakar perubatan keluarga kerana mereka merupakan barisan hadapan atau penyaring yang memainkan peranan penting dalam aspek kesihatan komuniti dan masyarakat.
Ditanya mengenai perkembangan virus rabies, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada kes baharu dilaporkan.
Beliau berkata hanya lima kes rabies dikesan di Serian, Sarawak melibatkan lima mangsa yang digigit anjing pada Mei lepas.
“Kajian kami mendapati kes rabies kali ini berasal dari Kalimantan dan Sulawesi, Indonesia dan setakat ini di Semenanjung Malaysia tidak ada kes rabies dilaporkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata tempoh inkubasi rabies mengambil masa yang panjang dan pengisytiharan bebas rabies akan dibuat jika tiada kes dilaporkan dalam tempoh dua tahun. – Bernama
The post Malaysia masih kekurangan pakar perubatan keluarga appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Malaysia masih kekurangan pakar perubatan keluarga
0 Komentar untuk "Malaysia masih kekurangan pakar perubatan keluarga"