BANGI, 18 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Kegagalan umat Islam bersatu menghadapi pelbagai masalah adalah antara punca sesetengah pihak berasakan mencerca dan mempersoalkan agama Islam sebagai perkara biasa.
Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kebejatan dan kemunduran umat Islam ketika ini disebabkan kesilapan meletakkan keutamaan dalam sesuatu permasalahan, sedangkan mereka sepatutnya melakukan anjakan paradigma bermula daripada diri sendiri sebelum memperbetulkan orang lain.
“Lepas satu-satu isu mencabar umat Islam ditimbulkan sejak kebelakangan ini. Tidak perlulah saya tuliskan satu persatu kerana senarainya mungkin terlalu panjang.
“Umat Islam, perlu beralih daripada perspektif konvensional kepada yang lebih baik lagi, beralih daripada mementingkan format dan simbol kepada hakikat dan kandungan.
“Beralih daripada perdebatan yang hanya mahu mementingkan kemenangan kepada perbuatan yang membuahkan hasil serta meminggirkan sikap emosional kepada menguasai ilmu,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.
Zainul Rijal berkata, umat Islam juga perlu mengalihkan tumpuan daripada tidak habis-habis bercakap mengenai masalah furuq (cabang) kepada menumpukan ke arah penyelesaian masalah pokok.
“Beralih daripada menyusahkan kepada memudahkan, sikap jumud dan taqlid buta kepada ijtihad dan pembaharuan (pengislahan), sikap eksklusif kepada inklusif, berlebih-lebihan kepada sederhana, berkeras kepada hikmah dan pertelingkahan kepada perpaduan serta pendamaian.
“Anjakan paradigma dalam erti kata lain melakukan penghijrahan minda dan tindakan ini amat penting ke arah mengembalikan kecemerlangan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata, penghijrahan ini merupakan satu proses pembinaan tamadun sebagaimana qudwah ditunjukkan melalui sejarah seperti penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari Makkah ke Madinah dalam usaha memartabatkan agama Allah SWT iaitu agama Islam yang diredai.
” Jika umat Melayu Islam tidak mengkaji dan sambil lewa sahaja membuat sesuatu keputusan serta tindakan ia sememangnya hanya akan merugikan umat Islam. Ketirisan minda umat Islam ini akhirnya akan diambil kesempatan oleh golongan-golongan kuffar untuk menghancurkan Islam secara senyap (silent-movement) mahupun terang-terangan dari segi akidah dan akhlak umat Islam,” katanya.
The post Mengutamakan masalah punca Melayu, Islam mundur appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mengutamakan masalah punca Melayu, Islam mundur
0 Komentar untuk "Mengutamakan masalah punca Melayu, Islam mundur"