BANGI, 9 Zulkaedah 1438H, Rabu – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memohon menjadi pencelah dalam rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Mahkamah Persekutuan, berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapa biologi.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, MAIS memohon kebenaran itu sebagai usaha untuk memelihara agama dan memartabatkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini.
Katanya, sudah jelas keputusan membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya adalah bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Justeru, Jawatankuasa Fatwa Selangor turut menyokong tindakan JPN yang masih merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pendaftaran bagi anak tidak sah taraf yang membabitkan orang Islam kerana berkaitan dengan hukum syarak.
“Sebab itu kita mohon dan mengalu-alukan tindakan JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Rahman Sebli dalam keputusan penting setebal 29 muka surat berkata, Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.
Katanya, bidang kuasa ketua pengarah adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak telah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak saf taraf Islam dan bukan Islam.
Bagaimanapun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengekalkan peraturan sedia ada berhubung penasaban anak luar nikah atau anak tak sah taraf orang Islam.
JPN dilaporkan juga sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara pada 25 Julai lepas.
The post Nasab anak luar nikah: MAIS akan mohon kebenaran mencelah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Nasab anak luar nikah: MAIS akan mohon kebenaran mencelah
0 Komentar untuk "Nasab anak luar nikah: MAIS akan mohon kebenaran mencelah"