Gema Semua Maklumat

Peranan wanita: Pra dan paska kemerdekaan

Peranan wanita: Pra dan paska kemerdekaan

PERANAN wanita dalam memperjuangkan kemerdekaan dan seterusnya pembangunan negara tidak dapat dinafikan lagi. Kemerdekaan selama 60 tahun telah membuka peluang dan ruang yang luas kepada wanita untuk sama-sama berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Peluang mendapat pendidikan dan pekerjaan di samping tanggungjawab terhadap keluarga telah membawa perubahan kepada peranan dan sumbangan wanita keseluruhannya.

Wanita generasi baharu mungkin agak kabur mengenai perjuangan wanita terdahulu dalam menggapai kemerdekaan negara, kerana selama lebih enam dekad wanita telah menikmati banyak kemudahan seiring dengan kemajuan dan pembangunan negara.

Mereka dilahirkan dan terus mengecapi kesenangan hasil perjuangan wanita dahulu, terutama dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi dan politik. Mereka tidak perlu melalui kesan penjajahan, hak-hak ditindas dan kebebasan disekat.

Mereka juga tidak merasai pahit getir membebaskan negara daripada belenggu penjajah dan sepatutnya menghargai dan memperingati jasa dan susah payah tokoh-tokoh lama wanita seperti Ibu Zain, Tan Sri Fatimah Hashim, Khatijah Sidek, Dato Hajah Siti Rahmah Kassim, Tan Sri Datin Paduka Seri Aishah Gani yang semua telah meninggalkan kita. Nama tokoh-tokoh wanita ini perlu disematkan dalam pemikiran dan hati generasi muda.

Perjuangan kaum wanita dahulu tanpa mengharapkan balasan tidak terbatas kepada tenaga, tetapi turut mengorbankan wang ringgit dan harta. Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, yang pernah menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan atau namanya Jabatan Pembangunan Wanita sekarang, menjelaskan kaum ibu zaman sebelum merdeka sanggup mengorbankan banyak masa tenaga dan wang ringgit demi perjuangan parti ketika itu.

Sekiranya tiada wang sebagai derma bakti ketika pilihan raya, mereka sanggup melucutkan barang kemas untuk dijual demi menampung keperluan parti. Mereka juga sanggup memasak sendiri untuk dinikmati bersama dalam mesyuarat parti.

Siti Rahmah adalah orang Malaysia pertama yang menyerahkan gelang emas miliknya yang merupakan hadiah perkahwinan daripada ayahnya, dalam usaha membantu membiayai rombongan Tunku Abdul Rahman ke London. Beliau kemudian dikenali sebagai Tokoh Gelang Kemerdekaan.

Beliau kemudian menyeru pada semua hadirin untuk ikut menyumbang bagi membiayai perjalanan rombongan yang akan ke London. Sesaat kemudian, didorong oleh Siti Rahmah, para pembesar UMNO berserta hadirin lainnya menyumbangkan wang ataupun barangan dalam pelbagai bentuk, seperti rantai emas, kerongsang, jam, pin baju, cincin dan subang, termasuk tongkat berkepala emas.

Awalnya niat Siti Rahmah menyumbangkan gelang emas dirahsiakan agar tidak diketahui ibunya. Namun, kemudian ibunya mengetahui setelah diberitahu orang lain. Ibunya kemudian marah dan memukul Siti hingga mengeluarkan darah. Baju Siti yang berlumur darah kemudian disimpannya sebagai kenangan ‘titisan darah kemerdekaan’.

Tokoh Gelang Kemerdekaan

Begitulah hebatnya wanita terdahulu memperjuangkan hak-hak mereka yang dirasai kesannya sekarang. Mereka mengorbankan segalanya demi mencapai impian membebaskan negara daripada penjajah. Mereka mempunyai keimanan, jati diri dan semangat patriotik yang tinggi.

Aishah Gani pada tahun 2000 pernah mengatakan bahawa cabaran wanita pada hari ini adalah lebih besar berbanding wanita dahulu. Beliau menegaskan bahawa pada masa dahulu golongan wanita bekerja keras bagi memperjuangkan hak mereka, tetapi wanita hari ini perlu lebih peka terhadap isu-isu sosial dan perkembangan semasa, terutama berkaitan institusi kekeluargaan.

Tambah beliau lagi, wanita hari ini tidak lagi berfungsi sebagai seorang ibu dan isteri, tetapi peranan mereka lebih luas iaitu sebagai pekerja, majikan dan sebahagian daripada ahli masyarakat. Di samping itu, peranan yang dimainkan oleh kaum wanita amat besar kerana masa depan anak-anak terletak di atas bahu mereka.

Oleh itu, penulis berasakan adalah menjadi tanggungjawab wanita masa kini mengisi kemerdekaan dengan sama-sama menyumbang untuk membangunkan negara, di samping tugas utama mereka mendidik anak-anak mengikut acuan Islam sebenar, kerana walau sehebat mana pencapaian mereka, tetapi jika gagal membimbing anak-anak menjadi insan beriman, berakhlak mulia dan berbakti kepada negara, kejayaan itu tidak akan bermakna.

Wanita juga perlu mempunyai akidah dan akhlak yang mantap, berilmu tinggi di samping sihat fizikal dan mental untuk menangani pelbagai masalah sosial, pendidikan dan kesihatan yang sering melanda anak muda sekarang dalam dunia yang serba mencabar dan pesat membangun serta penuh dugaan.

Ibulah yang mencorak generasi akan datang, kerana ibu yang baik akan melahirkan dan mendidik generasi yang baik juga.

Dr Nik Safiah juga melihat perubahan pada generasi baru pasca merdeka yang tidak menghormati dan berasa bangga dengan bahasa Melayu dan jati diri insan Melayu khususnya dalam aspek kenegaraan, perpaduan dan mendaulatkan seni budaya.

Pada pendapat beliau, mempertahankan bangsa, bahasa dan budaya Melayu itu teras kejayaan negara dan bukannya berbangga dengan bahasa dan budaya serta tatasusila orang lain.

Jati diri wanita pasca merdeka sepatutnya masih menampilkan jati diri insan wanita Melayu yang penuh beradab, bersopan santun, berbudaya Melayu seperti menghormati orang tua walaupun mempunyai kedudukan dan pangkat yang tinggi. Teknologi maklumat dan komunikasi moden seharusnya tidak menggadaikan maruah nusa dan bangsa.

Wanita Isma sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan sentiasa menekankan pentingnya wanita diberi ilmu dan kefahaman yang benar dan mantap mengenai Islam dan isu-isu semasa, seperti pemikiran sesat yang merosakkan, agar generasi wanita muda tidak mudah terpedaya dan mampu menangani permasalahan semasa.

Wanita Isma juga berasa pentingnya meningkatkan kesedaran wanita agar kembali kepada fungsi asal wanita Melayu Islam sebagai ibu, isteri, pendidik dan pengurus rumahtangga.

Antara Semninar Fiqh Wanita anjuran Isma

Ini dapat dilihat daripada penganjuran pelbagai program seperti Usrah Wanita, Seminar Fiqh Wanita, Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS), Persidangan Antarabangsa Wanita Islam (PERWANIS) dan International Muslimah Empowerment Conference (IMEC).

Adalah menjadi harapan kami agar wanita generasi muda sekarang memahami tugas asasi sebagai isteri dan ibu, di samping bekerjaya membantu pembangunan negara, serta mampu mendidik generasi akan datang agar beriman, berakhlak baik dan menyambung perjuangan silam yang semakin pudar.

Dr Norzila binti Baharin
Pengerusi Biro Komunikasi dan Multimedia
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

The post Peranan wanita: Pra dan paska kemerdekaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Peranan wanita: Pra dan paska kemerdekaan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Peranan wanita: Pra dan paska kemerdekaan"

Back To Top