Perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan
Tajuk Bahagian 1: Pengkhianatan pemimpin elit Melayu berjiwa anglophile dalam mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Hari ini jika kita lihat dalam kalangan generasi muda, tahap penguasaan dalam Bahasa Melayu sangat membimbangkan. Kita tolak ke tepi dahulu, bangsa-bangsa lain seperti Cina dan India, lihat sahaja senario ini dalam kalangan bangsa kita sendiri bangsa Melayu.
Anak Melayu sekarang lebih bangga bercakap dalam bahasa Inggeris sama ada bercakap di rumah sesama ahli keluarga, dengan rakan sekerja, juga dalam interaksi sosial mereka dalam dunia maya walaupun majoriti rakan-rakan mereka berbangsa Melayu.
Adapun jika menggunakan bahasa Melayu, tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Banyak penggunaan kata-kata carutan yang tidak sopan hasil cerapan daripada pelbagai medium instrumen hiburan berupa lagu, filem dan juga bahan bacaan.
Kesedaran yang rendah terhadap peri pentingnya Bahasa Melayu dalam interaksi kehidupan seharian, rasa tidak kisah apabila Bahasa Melayu diabaikan, dipandang rendah dan enteng.
Perkara ini sungguh menyedihkan. Tahukah kita bahawa perjuangan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu ini bukannya perkara yang mudah?
Dalam satu artikel jurnal yang ditulis oleh Sharifah Darmia bertajuk “Cabaran dan reaksi pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam bidang pentadbiran dan pendidikan di Malaysia, 1957-1966” menceritakan pahit getir pejuang terdahulu untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebanggsaan.
Tempoh 10 tahun selepas merdeka menurut penulis adalah tempoh yang sangat penting kerana bahasa Melayu ketika itu disaingi hebat oleh bahasa Inggeris. Lebih menyulitkan keadaan, pemimpin politik Melayu yang berjiwa anglophile sendiri menentang usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mereka berpendapat, bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang rendah tarafnya jika hendak dibandingkan dengan bahasa Inggeris.
Keadaan ini menimbulkan reaksi yang dapat dilihat melalui kritikan-kritikan yang ditulis dalam media cetak pada masa itu.
Sebagai contoh, akhbar Suara Merdeka menyatakan kritikannya kepada pemimpin-pemimpin politik berjiwa anglophile yang masih bersikap mendewa-dewakan bahasa Inggeris iaitu:
“Tidak ada satupun langkah yang bijak yang dibuat oleh pemimpin itu selain terpekik sana sini. Apakah pemimpin-pemimpin itu berfikir dengan wujudnya Balai Pustaka itu boleh pasti memperjuangkan Bahasa Melayu? atau melahirkan bahasa yang menjadi jiwa bangsa Melayu. Apakah dengan mengadakan sekolah menengah berbahasa pengantar Inggeris boleh memajukan bahasa kebangsaan? Apakah dengan memajukan keadaan pentadbiran bahasa Inggeris dengan menghargai tinggi nilai bahasa Inggeris itu akan menghasilkan bahasa Melayu yang berdaulat. Selagi pemimpin dan wakil rakyat bersifat ibarat melepaskan batuk di tangga, selagi mereka itu memandang rendah, miskin, hina kepada bahasa Melayu akan selagi itulah bahasa Melayu tetap malap.” (Suara Merdeka, Bil. 9, Disember 1957: 10-11).
Majalah Dewan Bahasa telah mengeluarkan kenyataan bahawa:
“Dan yang patut sekali dahulu memulakan Bahasa Melayu di dalam urusan kerajaan adalah kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Akan tetapi nampaknya terpaksalah didukacitakan oleh beberapa sebab hingga sekarang ini pun kerajaan Persekutuan baharu dapat memelayukan beberapa buah nama ibu pejabat sahaja.” (Dewan Bahasa, Bil 4, April 1958: 169).
Selain itu, di negeri Kedah misalnya Pejabat Kerajaan Negeri Kedah masih lagi tetap menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan pentadbirannya. Ini dapat dilihat melalui kenyataan yang terdapat dalam Majalah Dewan Bahasa:
“Dan malangnya, kata keterangan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah baru-baru ini, pada masa sekarang surat-surat kepada kerajaan Persekutuan dan kepada negeri-negeri lain dalam Persekutuan masih ditulis dalam bahasa Inggeris… Dalam hal ini nampaknya pengaruh penjajahan Inggeris yang lebih tebal terhadap negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu itu menolong menumbangkan kedaulatan Bahasa Melayu.” (Dewan Bahasa, Bil. 9, September 1958: 411).
Seharusnya pemimpin-pemimpin anglophile ini merenung kata-kata Za’ba agar memerdekakan Bahasa Melayu daripada cengkaman penjajah.
“ dalam Malaya merdeka sekarang tentulah Bahasa melayu pun sepatutnya merdeka juga, yakni tidak termesti dihadkan gunanya dalam hal rendah-rendah dan soal-soal bercakap akan perkara-perkara yang orang Melayu biasa sahaja seperti yang sudah-sudah. Sebaliknya, setelah Malaya merdeka ini patutlah Bahasa Melayu dilayakkan dari selangkah ke selangkah bagi penggunaan lebih maju, lebih besar dan lebih tinggi pula, seperti jadi alat mengajarkan pelajaran-pelajaran dan ilmu pengetahuan yang lebih luas dan mendalam dan menjadi Bahasa menjalankan kerja-kerja pentadbiran dan pemerintahan negeri dan juga menjalankan kerja-kerja kehakiman.” (Dewan Bahasa September 1957)
Jelas, melalui bukti-bukti yang dikeluarkan di atas, kita boleh melihat bagaimana sikap yang ditonjolkan oleh pemimpin elit Melayu berjiwa anglophile ini sehingga menolak bahasa bangsa sendiri, dan lebih mengagungkan bahasa penjajah.
Dalam bahagian yang seterusnya kita akan melihat bagaimana bahasa Melayu diperjuangkan oleh pejuang-pejuang bahasa.
Bersambung.
The post Perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan (Bahagian 1) appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan (Bahagian 1)
0 Komentar untuk "Perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan (Bahagian 1)"