Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
KUALA LUMPUR, 7 Zulhijjah 1438H, Selasa – Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang menggesa satu undang-undang seragam bagi mengawal selia Peguam Syarie diwujudkan.
Ini kerana, katanya, berdasarkan analisis yang dibuat terhadap kaedah-kaedah Peguam Syarie negeri-negeri, terdapat perbezaan yang amat ketara dari sudut kelayakan dan syarat penerimaan masuk seorang Peguam Syarie antara satu negeri dengan negeri yang lain.
Ekoran itu, beliau berkata, ia mengakibatkan perbezaan atau tidak keseragaman dalam aspek kelayakan, permohonan dan penerimaan masuk, bayaran fi serta tatatertib Peguam Syarie di seluruh negara.
“Peguam Syarie perlu mendapatkan Sijil Peguam Syarie di setiap negeri dan mengisi borang permohonan yang berbeza, membayar fi yang berbeza bagi melayakkan mereka beramal di Mahkamah Syariah negeri tersebut.
“Amalan tersebut tidak praktikal dan menyusahkan kerana perlu mendapatkan sijil di setiap
negeri,” katanya sewaktu membentangkan kertas kerja di Seminar Kebangsaan Mahkamah Syariah 2017 60 Tahun Pasca Kemerdekaan, yang diadakan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, seorang Peguam Syarie yang sudah berpengalaman bertahun-tahun dengan Mahkamah Syariah di sesebuah negeri perlu mengisi borang permohonan dan menjalani temuduga atau ujian semula jika ingin memohon Sijil Peguam Syarie di negeri lain.
“Terdapat kes Peguam Syarie yang telah lama beramal, tetapi gagal dalam peperiksaan tersebut. Keadaan ini menunjukkan tidak ada unsur pengiktirafan terhadap kelayakan dan pengalaman Peguam Syarie tersebut di negeri lain.
“Keadaan ini juga amat jauh berbeza dengan peguam sivil, di mana amalan peguam sivil adalah menyeluruh untuk satu negara.
“Adalah lebih praktikal jika terdapat satu pengiktirafan diberikan oleh semua negeri dengan hanya satu sahaja tapisan. Oleh itu, Peguam Syarie yang sudah lulus dan memiliki Sijil Peguam Syarie layak diiktiraf di negeri-negeri lain,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, PGSM mengambil kesempatan ini untuk menggesa sidang Dewan Undang Negeri meluluskan suatu usul di peringkat DUN untuk membuat satu permintaan kepada Kerajaan Persekutuan berdasarkan Perkara 76 (1) Perlembagaan Persekutuan, agar membuat satu undang-undang yang seragam di seluruh Malaysia berkenaan guaman Syarie ini.
The post PGSM gesa wujud undang-undang seragam kawal selia peguam syarie appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PGSM gesa wujud undang-undang seragam kawal selia peguam syarie
0 Komentar untuk "PGSM gesa wujud undang-undang seragam kawal selia peguam syarie"