Sokong tindakan Jakim tegur IRF, G25 bawa masuk idea liberal sesat
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 8 Zulhijjah 1438H, Rabu – Teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap pertubuhan Islamic Renaissance Front (IRF) dan kumpulan G25 yang membawa masuk idea-idea liberal yang sesat ke negara ini perlu diambil perhatian.
Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, beliau bersetuju dan menyokong teguran Jakim kerana idea yang dibawa pertubuhan itu bertentang dengan hukum syariat Islam.
“Secara jelas kita nampak Simposium Kesederhanaan Al-Quran anjuran IRF dan G25 adalah untuk menyebarkan satu bentuk fahaman Islam liberal melalui konsep kritis al-Quran.
“Mereka juga terang-terangan menjemput seorang tokoh yang telah tersenarai di dalam buku “50 tokoh Islam liberal Indonesia, sebaris dengan nama-nama seperti Nurcholis Majid, Uli Absar Abdalla dan Taufik Adnan.
“Jadi kita minta sangat, bukan sekadar teguran, tetapi pihak berkuasa wajar menyekat dakyah-dakyah yang mempersoalkan kerasulan Rasulullah SAW dengan memantau seminar anjuran IRF,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha berkata, IRF dan G25 berusaha membawa masuk idea-idea liberal yang sesat ke negara ini.
Ia susulan kenyataan tokoh Islam Liberal Indonesia, Dr Mun’im Sirry mengatakan al-Quran tidak relevan dan diturunkan pada era Mesopotamia.
Dr Mun’im membuat kenyataan itu pada sesi dialog ‘Scriptural Polemics: The Quran and Other Religions’ anjuran IRF dan G25 pada 20 ogos lalu.
Jelas Dr Rafidah, beliau kesal dan kecewa lebih-lebih lagi ketika anak-anak kita mempelajari dan memuliakan al-Quran, mencintai Rasulullah SAW sebagai sebahagian tuntutan syahadah dan sebahagian daripada rukun Iman, IRF dibiarkan secara terbuka menganjur wacana Kritik Teks Al-Quran ini,
“Mereka mempergunakan nama ‘sekadar perbezaan pendapat dan meraikan kebebasan berekspresi’ untuk menutup agenda jahat mereka.
“WAFIQ berpendapat tidak seharusnya alasan ini menjadi lesen membenarkan sesiapa sahaja bercakap di bidang yang mereka bukan ahlinya,” katanya.
The post Pihak berkuasa mesti pantau dakyah sesat IRF, G25 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pihak berkuasa mesti pantau dakyah sesat IRF, G25
0 Komentar untuk "Pihak berkuasa mesti pantau dakyah sesat IRF, G25"