KUALA LUMPUR, 17 Zulkaedah 1438H, Khamis – Akta Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2017 (Akta 164) yang diluluskan Dewan Rakyat semalam, bercanggah dengan beberapa akta Persekutuan yang lain, kata Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
Katanya, dalam Seksyen 51 akta yang dipinda dan diluluskan itu menegaskan pembubaran perkahwinan bukan Islam – di mana salah seorangnya memeluk Islam – mesti dibuat di Mahkamah Sivil.
Tetapi, beliau berkata, Seksyen 46 (2) Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan tahun 2003 menyatakan bahawa soal berkaitan perkahwinan Islam mesti dibuat melalui Mahkamah Syariah.
Pindaan akta itu memberi hak kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam bagi memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil mengikut peruntukan Subseksyen 51(1).
Takiyuddin berkata, pindaan itu juga bercanggah dengan Perkara 121 (1)a yang menyatakan bidang kuasa perkara berkaitan dengan perkahwinan orang Islam iaitu perceraian harus diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
“Apabila masuk Islam orang itu adalah muslim tetapi dengan pindaan ini seolah-olah memaksa orang Islam pergi ke mahkamah sivil untuk membubarkan perkahwinan mereka.
“Bercanggah dengan dengan jadual ke-9 di dalam item 1 yang mana penentuan perkara hukum, doktrin, syarak dan adat melayu dalam bidang kuasa negeri bercanggah dengan enakmen negeri-negeri. Iaitu ketua-ketua agama negeri, jadi pindaan ini tidak dirujuk kepada Ketua Agama Negeri,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Takiyuddin berkata, PAS menganggap pindaan akta itu bercanggah dengan Perkara 11 (1) berkaitan kebebasan beragama iaitu orang bukan Islam memeluk Islam, tetapi dipaksa ke mahkamah sivil untuk menyelesaikan masalah agama sendiri yang sepatutnya dibuat di Mahkamah Syariah.
“PAS juga mempersoalkan kenapa Akta ini dilaksanakan selepas enam tahun diluluskan dan daripada kajian yang dibuat undang-undang ini dibantah oleh orang bukan Islam termasuk Buddha, Kristian dan Hindu kerana akta ini banyak bercanggah dengan agama lain.
“Kerajaan luluskan di Parlimen tahun 1976 berdasarkan satu laporan suruhanjaya. Jawatankuasa ini syorkan supaya Akta 164 dibuat. Suruhanjaya ditubuhkan pada 1970 tetapi dibentang tahun 1975 dan digazetkan tahun 1982,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pindaan itu ditangguhkan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali pula mencadangkan supaya akta itu ditambah dengan syarat pihak yang muslim membuat pembubaran di Mahkamah Syariah kemudian membawa keputusan itu ke mahkamah sivil.
The post Pindaan akta kahwin, cerai ketepikan Mahkamah Syariah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pindaan akta kahwin, cerai ketepikan Mahkamah Syariah
0 Komentar untuk "Pindaan akta kahwin, cerai ketepikan Mahkamah Syariah"