YAN, 25 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggalakkan sekolah-sekolah aliran agama persendirian di seluruh negara menerapkan aspek kokurikulum khususnya sukan dalam kalangan pelajarnya.
Beliau berkata, ia adalah sebagai nilai tambah sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.
Selain itu, katanya, penglibatan pelajar-pelajar terbabit dalam aktiviti sukan juga dilihat berupaya membuka ruang melahirkan atlet sukan.
“Aspek kokurikulum sekolah agama ini…kita masih lagi menggalakkan…sebab kadang-kadang kawasan terhad di sekolah, tidak mempunyai padang atau dewan permainan, yang menjadi faktor kekangan kokurikulum tidak menjadi subjek tumpuan pihak sekolah.
“Namun di peringkat kerajaan dan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), kita adakan sukan peringkat kebangsaan untuk sekolah-sekolah agama, sebab nak tonjolkan supaya ada kesedaran untuk pelajar beriadah dan bersaing dalam sukan, sekali gus mengajak sekolah-sekolah untuk terlibat dalam melahirkan atlet-atlet sukan di peringkat mereka,” katanya kepada pemberita selepas Penyampaian Bantuan Kepada Sekolah Pondok Berdaftar dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Zon Utara 2017 di Pejabat Agama Daerah Yan, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Jamil Khir berkata sehingga kini masih banyak sekolah-sekolah aliran agama persendirian yang belum berdaftar menyebabkan bantuan sewajarnya tidak dapat disalurkan oleh kerajaan.
“Saya tidak pasti alasan mereka, mungkin pihak pengurusan tidak begitu prihatin, atau mereka mempunyai dana mencukupi, atau mungkin juga tiada dana yang cukup tetapi disebabkan tidak memahami keadaan, menjadi faktor mereka tidak berdaftar dengan kerajaan negeri masing-masing,” katanya.
The post Sekolah agama persendirian digalak terap kokurikulum appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Sekolah agama persendirian digalak terap kokurikulum
0 Komentar untuk "Sekolah agama persendirian digalak terap kokurikulum"