Gema Semua Maklumat

Tiga beradik 2 hingga 6 tahun ditinggalkan tak terurus, makan nasi dengan kicap

Tiga beradik 2 hingga 6 tahun ditinggalkan tak terurus, makan nasi dengan kicap

Gambar Utusan

JOHOR BAHRU, 13 Zulkaedah 1438H, Ahad – Tiga beradik yang ditinggalkan dalam keadaan tidak terurus di sebuah rumah kedai di Jalan Susur Larkin Perdana 1, Larkin Perdana di sini diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kelmarin.

Difahamkan, dua kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki berusia antara dua hingga enam tahun tinggal bersama ibu bapa mereka yang berasal dari Sabah serta seorang lagi adik berusia empat bulan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, kisah tiga beradik itu menjadi tular dalam Facebook apabila seorang pengguna mendakwa kanak-kanak berkenaan ditinggalkan dalam keadaan sudah beberapa hari tidak mandi dan hanya makan nasi berlaukkan kicap.

Dakwa pengguna laman sosial itu, ibu kanak-kanak berkenaan yang juga seorang mualaf bekerja di sebuah kilang di Gelang Patah, manakala bapanya dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak terbabit, namun meninggalkan mereka dalam keadaan tidak terurus.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, siasatan mendapati tiga beradik itu ditinggalkan di sebuah bilik sewa rumah kedai berkenaan tanpa pengawasan orang dewasa.

“Pelindung kanak-kanak JKM ke tempat tinggal mereka bersama anggota polis dari Balai Polis Larkin selepas menerima maklumat pada Rabu lalu.

“Pemerhatian kami juga mendapati mereka kekurangan makanan, pakaian dan penjagaan. Mereka juga melihat keadaan kanak-kanak yang di­biarkan tanpa pengawasan yang sewajarnya dan kes tersebut disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Mengikut laporan akhbar itu, seorang penghuni bilik sewa di rumah kedai berkenaan, Mohamad Faizul Mohamad, 34, berkata, nasib malang tiga beradik itu disedari seorang penyewa bilik sebelah apabila mendengar bunyi pinggan pecah dari bilik yang didiami kanak-kanak tersebut.

Curiga dengan keadaaan itu, penyewa bilik itu bergegas memberitahu dia dan isterinya, Intan Yasyirah Sumadi, 28, sebelum mereka memeriksa bilik berkenaan.

“Pintu bilik berkunci, nasib baik pembantu rumah sewa ada kunci pendua dan kami boleh masuk ke dalam serta amat terkejut apabila melihat keadaan tiga beradik ini ditinggalkan ibu bapa mereka dalam keadaan tidak terurus.

“Mereka terbaring dalam keadaan lapar selain berbau busuk dipercayai tidak dimandikan selain mendapati mereka hanya makan nasi berlauk kicap,” katanya.

Mohamad Faizul memberitahu, keluarga berkenaan baru sahaja menyewa bilik tersebut sejak hujung bulan lalu.

“Mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan, saya percaya mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak ada masalah,” katanya.

The post Tiga beradik 2 hingga 6 tahun ditinggalkan tak terurus, makan nasi dengan kicap appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Tiga beradik 2 hingga 6 tahun ditinggalkan tak terurus, makan nasi dengan kicap
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Tiga beradik 2 hingga 6 tahun ditinggalkan tak terurus, makan nasi dengan kicap"

Back To Top