Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 7 Zulhijjah 1438H, Selasa – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kesal dengan tindakan kerajaan membenarkan 39 veteran tentera British ketika zaman komunis dan Konfrontasi Indonesia-Malaysia menyertai perarakan Hari Kebangsaan yang ke-60, Khamis ini.
Ketua Biro Penerangan dan Kajian Pemuda Isma, Muslim Abdullah Zaik berkata, penyertaan veteran tentera British berkenaan tidak akan memadamkan kesan penjajahan mereka terhadap rakyat Malaysia.
Katanya, penglibatan mereka pada zaman penentangan komunis atau zaman darurat dan Konfrontasi Indonesia – Malaysia bukan alasan untuk melupakan ketamakan dan kekejian bangsa kolonial itu.
“Tanah Melayu dilambung-lambung seperti bola bertukar-tukar tangan penjajahan. Mereka musnahkan sejarah tanah air kita, mengaut kekayaan tanah ini, mengimpot orang asing dan pecah dan perintah kita dalam tanah air sendiri.
“Kemudian dalam tangan penuh darah umat Islam, mereka berlagak hero dan penyelamat. Mereka bukanlah menyelamatkan tanah air ini, tetapi hanya menjaga periuk emas mereka dan kedudukan geopolitik mereka di benua Asia,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, beliau bimbang pengiktirafan itu akan melenyapkan sentimen perjuangan menentang penjajahan dalam diri masyarakat negara khususnya generasi muda.
“Mereka mungkin tidak merasai susah payah generasi Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong Mat Kilau dan Dato’ Maharaja Lela dalam melawan penjajah.
“Namun jemputan ini akan memburukkan lagi keadaan generasi baru, ia akan menampakkan British sebagai penyelamat Tanah Melayu dan lebih malang lagi dosa-dosa mereka kepada Bangsa Melayu dan agama Islam bagaikan dilupakan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru pihak penganjur supaya mengutamakan veteran dan pejuang tanah air, berbanding bekas tentera British.
Tegasnya, veteran tentera British tidak layak untuk berarak setaraf dengan pejuang tanah air, dan menerima tabik hormat daripada rakyat Malaysia.
“Agaknya apa yang bakal diperkatakan Tok Janggut dan Dato’ Maharaja Lela jika melihat situasi ini? Pemuda ISMA menyeru para anak muda untuk kembali menghayati sejarah perjuangan generasi yang lalu.
“Darah para pejuang yang tertumpah dalam melawan penjajahan British tidak boleh dikeringkan dengan pengiktirafan kita kepada para veteran ini,” katanya.
The post Veteran tentera British bukan pejuang tanah air, tak layak terima tabik hormat rakyat Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Veteran tentera British bukan pejuang tanah air, tak layak terima tabik hormat rakyat Malaysia
0 Komentar untuk "Veteran tentera British bukan pejuang tanah air, tak layak terima tabik hormat rakyat Malaysia"