Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
KUALA LUMPUR, 7 Zulhijjah 1438H, Selasa – Penubuhan jawatankuasa dengan mengetengahkan proses mediasi dalam melaksanakan peruntukan Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) adalah jalan terbaik untu semua pihak.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Azam berkata, pendekatan tersebut tidak memerlukan pindaan undang-undang kerana ia boleh dibuat secara pentadbiran.
Manakala panel yang dilantik pula, menurutnya, mestilah terdiri dari pihak yang beragama Islam dan bukan Islam.
Ini kerana, katanya, kemungkinan besar “perebutan” untuk mendapat hak penjagaan anak masih timbul kerana perbezaan agama ibu bapa.
“Dengan adanya proses mediasi, kedua-dua pihak dapat berunding bagi mencapai kata sepakat yang pada akhirnya menguntungkan kanak-kanak.
“Adalah malang bagi kanak-kanak yang dipisahkan antara ibu bapa dan adik beradik kerana perbezaan agama antara ibu bapa seperti yang diputuskan dalam kes Sharmala a/p Sathiyaseelan lwn Dr Jeyaganesh a/l C Mogarajah & Anor dan Subashini a/p Rajasingam lwn Saravanan a/l Thangthoray,” katanya dalam kertas kerja pada Seminar Kebangsaan Mahkamah Syariah 2017 60 Tahun Pasca Kemerdekaan, yang diadakan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Prof Madya Dr Mohammed Azam berkata, memandangkan kini terdapat Bahagian Muamalat dan Penghakiman Gabungan di
Mahkamah Sivil dalam menangani kes-kes berhubung kewangan Islam, justeru, mewujudkan Mahkamah Keluarga Khas di bawah Mahkamah Sivil mampu menyelesaikan pertikaian ini.
“Dengan penubuhan jawatankuasa khas yang ahli-ahlinya terdiri dari mereka yang arif dalam kedua-dua bidang iaitu undang-undang Sivil dan Syariah, nescaya, ia boleh menyelesaikan kemelut pertikaian antara kedua pihak yang berlainan agama.
“Penubuhan mahkamah ini boleh dibuat secara pentadbiran dan tidak memerlukan sebarang pindaan Perlembagaan.
“Memandangkan Mahkamah Sivil akan mendengar tuntutan sampingan selepas permohonan pembubaran perkahwinan sivil oleh salah satu pihak sama ada pihak yang memeluk agama Islam atau pihak yang bukan Islam, hakim Mahkamah Sivil hendaklah bersidang dengan hakim Mahkamah Syariah apabila kes mengenai undang-undang Islam dibangkitkan dalam Mahkamah Sivil,” katanya.
Beliau berkata, hakim Mahkamah Syariah boleh dipinjamkan ke Mahkamah Sivil apabila ada keperluan.
“Untuk itu, sedikit pindaan
perlu dibuat kepada Perkara 122B & 123 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” cadangnya.
The post Akta 164: Proses mediasi jalan terbaik, adil untuk semua pihak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Akta 164: Proses mediasi jalan terbaik, adil untuk semua pihak
0 Komentar untuk "Akta 164: Proses mediasi jalan terbaik, adil untuk semua pihak"