Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 8 Muharram 1439H, Jumaat – Orang bukan Islam tidak benarkan orang Islam campur tangan dalam isu pesta arak kerana menurut mereka acara itu bukan untuk orang Islam. Pada masa sama mereka menentang pindaan Akta 355, sedangkan ianya langsung tidak membabitkan mereka.
Dalam hal ini, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar melihat terdapat dua parameter yang berbeza mengenai pendekatan orang bukan Islam berhubung isu berkenaan.
Katanya, beliau musykil dengan hujah pihak tertentu yang mengatakan bahawa meminum arak bukan untuk orang Islam, maka mereka tidak perlu campur tangan dalam penganjuran pesta arak.
“Pesta tersebut tidak melibatkan orang Islam. Secara simplistik mungkin ada benarnya, namun secara praktiknya sudah pasti penganjuran pesta ini tidak dapat dijayakan tanpa peranan orang Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Beliau yang mengulas isu permit permohonan pesta arak yang ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pelbagai reaksi dizahirkan menyokong perkara itu, tetapi idak kurang juga yang memanifestasikan kemarahan dengan tindakan tersebut.
Menulis dalam Sinar Harian hari ini, Zainul Rijal berkata, pihak yang menyokong pastinya mengambil kira faktor agama selain hal berkaitan keselamatan dan kesihatan.
Sementara katanya, di kalangan yang tidak bersetuju penolakan ini pula mempertikaikan keputusan tersebut atas faktor hak dengan mendakwa hak kaum dan agama minoriti terjejas dengan pengharaman itu.
“Sebagai seorang beragama Islam dan rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang berkuat kuasa saya menyokong sepenuhnya penolakan ini.
“Faktor agama yang disebutkan di atas menjadi tunjang kepada pendirian ini. Malah Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menjelaskan bukan sahaja meminum arak bagi orang Islam merupakan suatu kesalahan tetapi juga melibatkan perbuatan membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman yang memabukkan,” katanya.
Beliau berkata, penindasan terhadap hak beragama sebagaimana yang digembar-gemburkan hanyalah suatu falasi sahaja.
Katanya, sehingga kini beliau tidak dapat mencari nas-nas agama bukan Islam yang menganjurkan meminum arak secara terbuka dan berpesta.
“Namun sekiranya orang bukan Islam masih mahu meminum arak, minumlah di tempat persendirian atau yang diluluskan undang-undang. Tiada siapa yang akan menyekat.
“Sekiranya peminuman arak dibuat secara besar-besaran dengan mengadakan pesta, sudah pasti ia akan memberi suatu isyarat yang negatif kepada negara, khususnya Malaysia adalah sebuah negara Islam yang sangat dihormati di mata dunia.
“Malah kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan akan dimomokkan serta tidak diberikan erti yang sebenar,” katanya.
Justeru, katanya, dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, perlu sensitif dengan persekitaran, khususnya perkara membabitkan hal ehwal agama.
“Pengharaman pesta arak bukanlah bermaksud orang bukan Islam langsung tidak dibenarkan meminum arak. Kawalan hanya dikenakan bagi meminum arak di tempat terbuka secara besar-besaran.
“Kawalan peminuman arak adalah suatu keperluan. Saya juga memohon agar negeri-negeri lain juga tidak memberi kebenaran pesta arak ini. Jika merokok di premis awam boleh dilarang kenapa tidak meminum arak di tempat awam?,” katanya.
The post Akta 355, pesta arak dedah dua sifat orang bukan Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Akta 355, pesta arak dedah dua sifat orang bukan Islam
0 Komentar untuk "Akta 355, pesta arak dedah dua sifat orang bukan Islam"