MUAR, 19 Zulhijjah 1438H, Ahad – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan supaya kuasa Perdana Menteri untuk melantik ketua-ketua dalam pelbagai institusi kerajaan dihadkan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu akan dibawa kepada pucuk pimpinan pakatan harapan selain membawa beberapa perubahan dan reformasi besar jika berjaya ke Putrajaya.
“Antaranya kuasa perdana menteri dalam pelantikan ketua-ketua institusi utama negara seperti peguam negara, ketua polis negara, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia akan dihadkan.
“Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk memastikan Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat ketua-ketua institusi ini dengan sewenang-wenangnya,” katanya dalam majlis sambutan ulang tahun pertama Bersatu di Muar, Johor malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menunjukkan bagaimana kuasa dan pengaruh Perdana Menteri mengekang kebebasan institusi-institusi awam seperti SPRM, pasukan polis dan pejabat peguam negara.
“Akibatnya banyak kes berprofil tinggi terutamanya yang melibatkan perdana menteri dan orang di sekelilingnya tidak diambil tindakan walaupun terdapat bukti kukuh untuk mensabitkan mereka dengan kesalahan jenayah,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata, Bersatu akan mendesak perubahan yang akan menghalang Perdana Menteri daripada menjadi menteri kewangan.
The post Bersatu cadang had kuasa PM lantik ketua institusi kerajaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Bersatu cadang had kuasa PM lantik ketua institusi kerajaan
0 Komentar untuk "Bersatu cadang had kuasa PM lantik ketua institusi kerajaan"