Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 21 Zulhijjah 1438H, Selasa – Cadangan untuk membenarkan semula pek rokok bersaiz kecil atau lebih dikenali sebagai ‘kiddie pack’ dijual ke pasaran merupakan satu langkah yang terkebelakang, tegas Ketua Pemuda Isma, Muhammad Farid Hussin.
Walhal, telah banyak kempen kerajaan yang dijalankan untuk mengurangkan masyarakat daripada merokok seperti kempen “Katakan Tak Nak Pada Rokok” yang sudah menelan belanja berjuta-juta ringgit.
“Dalam konteks yang lebih besar, masyarakat dunia telah mengambil langkah proaktif untuk menyekat tabiat merokok dan semakin banyak tempat telah digazetkan sebagai tempat haram merokok.
“Jika cadangan rokok pek kecil diluluskan, ini akan memberi signal bahawa kerajaan bukan sahaja tidak serius untuk mencegah dan merawat masalah merokok ini, bahkan tidak mencerminkan mentaliti kelas pertama,” katanya kepada Ismaweb.net.
Beliau menegaskan, meskipun pihak yang akan mendapat keuntungan melalui penjualan semula rokok pek kecil ini adalah kerajaan, namun negara akan menderita dalam jangka masa panjang akibat kesan buruk kepada generasi muda.
“Dalam negara menghadapi isu kesempitan hidup terutama di kalangan belia, cadangan rokok pek kecil ini akan memburukkan lagi keadaan dan akan menyumbang ke arah masalah-masalah sosial yang lain, antaranya kes kecurian, penagihan dadah, penurunan produktiviti kerja, dan lain-lain.
“Jualan rokok pek kecil akan membolehkan lebih ramai anak muda mampu untuk membeli dan terjebak dalam masalah sosial ini,” katanya.
Justeru, Pemuda Isma membawa seruan agar kerajaan tidak menerima cadangan ini dan mengekalkan larangan sedia ada.
Terdahulu, beberapa pihak dari industri rokok dan tembakau juga dari persatuan kedai makanan telah mencadangkan bagi kerajaan untuk memperkenalkan kembali rokok pek kecil ke dalam pasaran Malaysia.
Larangan untuk penjualan ‘kiddie pack’ atau rokok yang mempunyai kurang daripada 14 batang sepaket di Malaysia telah dikuatkuasakan pada 2006 [1].
Tujuan utamanya bagi mengurangkan kemampuan golongan remaja berumur 18 tahun dan ke bawah untuk membeli rokok ini selaras dengan artikel 16, WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) 2003 [2].
The post Cadangan jual semula rokok pek kecil satu langkah terkebelakang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Cadangan jual semula rokok pek kecil satu langkah terkebelakang
0 Komentar untuk "Cadangan jual semula rokok pek kecil satu langkah terkebelakang"