TAHUN ini merupakan tahun bersejarah kepada negara. Sangat unik. Hari Kebangsaan 60 jatuh pada hari yang sama dengan Hari Raya Korban jika diambil perkiraan pertembungan perbezaan hari antara tahun Masehi dengan tahun Hijri.
31 Ogos adalah Hari Kebangsaan. Petang (waktu Maghrib) tarikh dan hari yang sama, telah masuk 10 Zulhijjah atau Hari Raya Korban. Laungan azan, takbir dan tahmid bergema pada hari merdeka tersebut. Alangkah indah sekiranya ketika menunggu detik 12 malam, nama Allah turut berkumandang, sebagai tanda syukur kita menyambut kemenangan menjadi juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, melepasi 111 pingat seperti yang disasarkan.
Apabila meneliti video lama sambutan merdeka 31 Ogos 1957, rupanya laungan azan dan doa turut berkumandang pada hari bersejarah tersebut. Ke mana hilangnya jati diri ini setelah sekian lama kemerdekaan negara disambut?
Bukanlah tujuan artikel ini memberi respon kepada kenyataan Mufti Perlis yang pernah berkata, majlis kerajaan di negara seperti Sweden dan Jepun tidak dihiasi unsur keagamaan, tetapi lebih cemerlang dari segi amanah harta rakyat, urus tadbir awam dan penjagaan alam sekitar. Berbanding dengan negara Islam yang beretorik dengan majlis agama, selawat sana sini dan sebagainya, tetapi hidup mereka penuh korupsi, rasuah serta tidak amanah.
Siapakah yang patut disalahkan? Orang Islam atau agama Islam? Islam tersangat suci untuk dipersalahkan, yang sebenarnya manusia yang beragama Islam itu sendiri yang tidak beramal dengan Islam sehingga mencemarkan imej Islam.
Ya, tidak dinafikan tidak ada satu pun negara Islam yang tersenarai dalam 20 terbaik sebagai negara terbersih, bebas rasuah, paling bahagia dan sebagainya. Semuanya negara Barat atau negara bukan Islam lain yang membolot.
Seolah-olah nilai-nilai bersih yang amat dianjurkan dalam Islam sehingga disebut sebagai kebersihan itu sebahagian daripada iman, bukan Islam yang beramal, bukannya orang Islam. Begitu juga penentangan Islam terhadap rasuah, sehingga disebut, pemberi dan penerima rasuah, kedua-duanya masuk neraka. Malangnya, negara Islam yang paling banyak rasuah.
Apakah itu bermakna, kita tidak perlukan langsung identiti agama atau majlis agama dalam sesuatu upacara yang diadakan? Apakah kita rela menjadi seperti negara Barat, maksiat dan kemungkaran bermaharajalela, tetapi negara mereka tetap maju dan bebas rasuah? Apakah justifikasi kita bahawa keadaan sebegini lebih baik?
Sekadar berkongsi pengalaman ketika berada di beberapa bandar raya Australia dan New Zealand. Ternyata bandar raya mereka pada waktu malam, hari-hari bekerja, begitu senyap dan sunyi, seolah-olah bandar raya tersebut ‘mati’. Berbanding dengan bandar raya kita yang ‘hidup’ 24 jam. Apakah bandar raya ‘mati’ pada waktu malam dan bandar raya ‘hidup’ 24 jam menandakan itu adalah kemajuan dan ia adalah lebih baik?
Malam-malam bandar raya Barat ini kembali meriah pada hari Sabtu dan Ahad. Pada pandangan mereka, selepas penat bekerja, tibalah masanya untuk bergembira dan bersuka ria tanpa batas. Mereka boleh melakukan apa sahaja, tanpa halangan, termasuk seks bebas, seks sesama jantina, minum arak, berjudi dan sebagainya. Hidup berkeluarga dianggap sesuatu yang menyusahkan dan menghalang keseronokan individu.
Malangnya. ada bandar raya negara Islam seperti negara kita yang hidup 24 jam. Tidakkah tengah malam sepatutnya dijadikan masa untuk berehat dan kemudian bangun untuk sujud kepada Allah? Malam yang sepatutnya menjadi masa yang terbaik untuk berehat dan tidur, digunakan untuk menyambut acara-acara negara sehingga lewat malam.
Akhirnya, siapa yang rosak? Lebih malang lagi, tengah malam itu juga ada segelintir anak-anak muda merempit dan berlumba motosikal. Tidak kurang melakukan perkara mungkar seperti seks bebas dan menghisap dadah.
Apakah majlis Islam yang dipersalahkan atau kejahilan manusia yang menyebabkan perkara ini berlaku? Justeru, saya amat mengharapkan, sambutan kemerdekaan ke 60 dan pertembungan dengan hari raya korban dan kemenangan Sukan SEA KL17, kita bermuhasabah.
Pertama, kedatangan hari raya korban pada hari yang sama, dengan didahului merdeka, sepatutnya kita hidupkan identiti merdeka dengan kembali tidak melupai sambutan pada 31 Ogos 1957. Hidupkan semula identiti Islam dan Melayu yang telah lama terpahat dan sebagaimana yang terpancar dalam Perlembagaan. Hidupkan dengan takbir dan takmid.
Jika tahun depan, Hari Merdeka tidak bertembung dengan Hari Raya Korban, tidakkah kita boleh hidupkan malam-malam tersebut dengan membesarkan dan mengingati Allah SWT. Bukan tujuan artikel ini untuk menafikan hak bukan Islam. Hak mereka sudah lama terjaga dan sentiasa terjamin. Negara bertuah ini perlukan kepada identiti pribuminya iaitu Melayu dan Islam, tanpa menafikan identiti orang lain.
Kedua, merdeka dalam erti sebenar telah berlalu. Mempertahankan kemerdekaan adalah kerja yang sangat sukar. Ia memerlukan pengorbanan. Hari Raya Korban adalah iktibar untuk kita berkorban. Berkorban untuk agama, bangsa dan negara. Berkorban untuk menjadi warganegara berakhlak mulia. Buang jauh-jauh identiti dan budaya Barat dan budaya penjajah yang merosakkan, seperti pergaulan bebas, liberalism, LGBT, hedonism dan sebagainya.
Kembali kepada acuan dan identiti sendiri. Gerakan liberalisme yang mahu mempersendakan Islam mesti ditentang habis-habisan. Tindakan undang-undang mesti dikenakan. Misalnya, tindakan yang mesti dilakukan terhadap pertubuhan Islamic Renaissance Front (IRF) dan aktiviti yang dijalankan.
Majoriti sarjana yang dijemput adalah dalam kalangan yang terlalu liberal. Pendapat mereka nyata bertentangan dengan pendapat para ulama muktabar. Misalnya, kenyataan Dr Mun’im Sirry, sarjana yang dijemput oleh IRF, yang memetik kata-kata seorang sarjana dari England, John Wansbrough, Mun’im Sirry mendakwa bahawa al-Quran itu tidak mungkin diturunkan di Makkah dan Madinah.
Menurutnya, hujah-hujah dalam al-Quran itu terlalu kompleks untuk kaum primitif seperti yang wujud di Makkah dan Madinah ketika itu. Tegasnya, al-Quran sebenarnya telah muncul di daerah Mesopotamia yang sekarang ini sebahagian daripada Iran.
Peliknya, kenapa kerajaan terus membiarkan pertubuhan sebegini dan mereka yang bertanggungjawab meneruskan agenda penghinaan terhadap Islam? Siapakah di belakang mereka ini semua? Pembesarkah? Atau apa? Saya terus tertanya-tanya.
Ketiga, berkorban ego. Ego kita terlalu tinggi, sehingga kita berpecah kepada lebih lima kumpulan sehinggakan kita berada dalam keadaan selemah-lemahnya. Orang lain mengambil kesempatan. Kerana mahu menjatuhkan kepimpinan sedia ada yang dipimpin oleh orang Islam hari ini, kita sanggup bersekongkol dengan musuh yang anti-Islam.
Kita boleh berbaik dengan bukan Islam tetapi sesama Islam saling bermusuhan dan berbunuhan? Berbaloikah? Tertutup sudahkah segala pintu perbincangan?
Keempat, kepada Sabah dan Sarawak. Sebenarnya, merujuk kepada sejarah Pembentukan Malaysia telah ditetapkan pada 31 Ogos 1963. Tetapi disebabkan oleh dokumen pembentukan yang masih belum mencukupi maka pembentukan Malaysia dibawa kedepan, lewat dua minggu.
Maka, muncul tarikh 16 September 1963. Janganlah hendaknya kita berkata 31 Ogos ‘nothing to do with us’. Sebenarnya 31 Ogos menuntut kepada pengorbanan untuk kita memahami sejarah sebenarnya. Jika ditakdirkan Pembentukan Malaysia adalah sama tarikh pada 31 Ogos, apakah ketika itu kita akan berkata, merdeka cara Tanah Melayu lain, merdeka mengikut cara Sabah Sarawak lain.
Bukan soal tarikh yang penting, tetapi semangat pengorbanan itu yang lebih penting. Apa ada dengan tarikh? Yang akan kekal dan hidup adalah semangat yang ada dalam diri. Walaupun saya tidak dibenarkan ke Singapura dan Sarawak, semangat ini tetap hidup dalam diri ini bahawa kita serumpun.
Benar, tulisan saya selama ini memang lantang dan kontroversi. Saya hanya berkata benar, jika salah mari kita berbincang. Bukan dengan mengambil tindakan emosional dan tidak rasional. Jangan sampai ultra kiasu mengambil kesempatan dan mereka terus menang.
Akhirnya, selami hakikat sebenar erti patriotisme. Semangat patriotisme selalu dikaitkan dengan kemerdekaan. Semangat ini yang bertiup kencang dalam jiwa pejuang masa lalu sehingga menggerunkan penjajah.
Patriotisme berasal daripada perkataan patriot iaitu pejuang. Pejuang yang sanggup berkorban sehingga ke titisan darah yang terakhir mempertahankan kedaulatan negara daripada pencerobohan dan campur tangan kuasa asing setelah merdeka. Adakah semangat ini wujud dalam diri kita?
Sama-sama kita fikir sempena Merdeka 60, Hari Raya Korban dan kemenangan KL17.
Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Iktibar Merdeka 60, Raya Korban dan KL17 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Iktibar Merdeka 60, Raya Korban dan KL17
0 Komentar untuk "Iktibar Merdeka 60, Raya Korban dan KL17"