BANGI, 2 Muharram 1439H, Sabtu – Jabatan Imigresen tidak akan membenarkan mana-mana individu yang mahu menghadiri pesta gay yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur hujung bulan ini, memasuki negara ini, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata, mana-mana individu atau penganjur pesta gay akan diserahkan notis ‘Not to Land’ (NTL) mengikut Seksyen 8 Akta Imigresen, sekiranya mereka cuba memasuki Malaysia.
Tindakan itu, katanya, dibuat atas arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan pihak polis untuk tidak meluluskan perhimpunan gay itu, yang dirancang pada 30 September ini.
“Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan untuk mengenal pasti individu terbabit dan memastikan mereka tidak memasuki negara ini.
“Jabatan Imigresen tegas dalam pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memperkenalkan amalan tidak sihat dan tidak bermoral yang boleh menganggu ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara ini,” katanya.
Sejak Januari hingga 30 Jun lalu, Jabatan Imigresen telah menyerahkan notis NTL kepada 46,551 individu, kerana melakukan beberapa kesalahan.
Pesta gay di Kuala Lumpur itu dikatakan sebagai acara ‘pemanas badan’ menjelang White Party Bangkok – perhimpunan terbesar gay di Asia – selama tiga hari pada 28 Disember depan di Thailand.
The post Imigresen tak benar peserta pesta gay masuk Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Imigresen tak benar peserta pesta gay masuk Malaysia
0 Komentar untuk "Imigresen tak benar peserta pesta gay masuk Malaysia"