ISTANBUL, 2 Muharram 1439H, Sabtu – Aktivis terkenal Syria dan anak perempuannya yang juga seorang wartawan ditemui mati dibunuh di apartmen mereka, dipercayai dilakukan anggota perisikan rejim Bashar Al-Assad.
Polis mengesahkan mayat Dr Orouba Barakat, 60, dan Halla, 22 tahun, ditemui di kediaman mereka di kawasan kejiranan Uskudar di Istanbul, semalam.
Kedua-duanya adalah keluarga kepada tiga mangsa yang ditembak mati di Chapel Hill, Amerika Syarikat pada 2015 lalu oleh seorang lelaki yang terpengaruh dengan Islamophobia – Deah Barakat; isterinya, Yusor Mohammad Abu-Salha; dan adiknya, Razan Mohammad Abu-Salha.
Sebelum itu, beberapa rakan mangsa menghubungi polis selepas bimbang kerana gagal menghubungi dua beranak berkenaan.
Bedah siasat menunjukkan kedua-duanya meninggal dunia tiga hari lalu. Badan mereka juga mempunyai kesan tikaman dan cekikan.
Rakan dan kelurga mangsa percaya, kedua-duanya dibunuh rejim Assad kerana mereka kerap mendedahkan kekejaman dilakukan Presiden Syria itu terhadap lawan politiknya.
Orouba juga dikatakan sedang menyiasat dakwaan penderaan dan penyeksaan yang dilakukan rejim Assad di dalam penjara di Syria.
Seorang lagi anak Orouba, Suzanne Barakat, pula memberitahu kakaknya bekerja dengan agensi berita Turki, TRT World, dan pernah menerima ancaman daripada rejim Assad.
Suzanne berkata, ibu dan kakaknya banyak menerbitkan dokumentari serta temu bual mengenai kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan rejim Assad di penjara, dalam bahasa Inggeris dan Arab. – Agensi
The post Rejim Bashar al-Assad disyaki bunuh aktivis Syria, anak perempuan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Rejim Bashar al-Assad disyaki bunuh aktivis Syria, anak perempuan
0 Komentar untuk "Rejim Bashar al-Assad disyaki bunuh aktivis Syria, anak perempuan"