Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 4 Muharram 1439H, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Shah Alam kesal sekiranya kerajaan negeri Selangor membenarkan pesta arak Better Beer Festival 2017 dianjurkan di negeri ini.
Yang Dipertua Isma Shah Alam, Ustaz Mohammad Rizal Sabran berkata, sepatutnya apa sahaja usaha maksiat yang boleh mengundang kemurkaan Allah dielakkan daripada berlaku.
“Kita patut mengundang keredaan Allah dan bukan kemurkaan-Nya agar negeri dan negara ini sentiasa mendapat barakah dan dijauhkan daripada sebarang musibah.
“Saya yakin bahawa kemudaratannya adalah sangat besar selain ia merosakkan akal yang setelah itu akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini, bahkan akan mengancam keselamatan awam.
“Bagaimana ceteknya fikiran jika beranggapan ia suatu yang tidak mendatangkan bahaya kepada awam,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan pendirian kerajaan negeri untuk membenarkan penganjuran pesta arak dengan syarat peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan dipatuhi oleh penganjur.
Ia juga adalah bagi menghormati adat resam dan budaya kaum-kaum yang membentuk rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Ustaz Rizal berkata, hak kaum minoriti memadai dilakukan di rumah mereka sendiri dan tidak dilakukan di tempat umum seperti menganjurkan pesta dan seumpamanya.
The post Isma Shah Alam kesal jika pesta arak diadakan di Selangor appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Isma Shah Alam kesal jika pesta arak diadakan di Selangor
0 Komentar untuk "Isma Shah Alam kesal jika pesta arak diadakan di Selangor"