Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 4 Muharram 1439H, Isnin – Muslim di Malaysia tidak mempunyai masalah untuk menghormati budaya orang bukan Islam, tetapi bukan dengan cara menganjurkan pesta arak secara terbuka, tegas Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH, Aminuddin Yahaya.
Menyelar kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali semalam, beliau berkata, orang bukan Islam juga perlu menghormati sensitiviti muslim di negara ini, yang jelas arak dan pesta berkenaan bercanggah dengan agama itu sendiri.
“Kenapa mereka tidak minum di tempat (kedai) arak yang sedia ada? Kenapa nak buat besar-besaran di tempat terbuka yang mana mereka tahu ianya sensitif bagi kita (umat Islam).
“Ini bukan lagi soal hak kebebasan tetapi minum arak adalah salah dari segi agama dan melanggar Perlembagaan,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Semalam, Azmin dilaporkan memberi kebenaran kepada penganjur untuk berpindah lokasi pesta Better Beer Festival di Selangor selepas permit untuk mengadakannya di Publika, di ibu negara ditolak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Secara dasarnya kami (kerajaan negeri) menghormati dan memelihara hak kaum minoriti tetapi perlu patuh terhadap undang-undang sedia ada,” kata Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.
Mengulas lanjut perkara itu, Aminuddin berkata, kenyataan Azmin secara tidak langsung membuka peluang manipulasi daripada pelbagai pihak, apatah lagi ketika ini umat Islam lantang membantah penganjuran seumpamanya diadakan di Malaysia.
“Walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai garis panduan tetapi siapa yang dapat menjamin ia akan dipatuhi oleh penganjur?
“Kerajaan negeri juga perlu memaklumkan apa garis panduan yang dinyatakan oleh PBT kepada umum,” katanya.
Pesta berkenaan sepatutnya diadakan pada 6 dan 7 Oktober ini di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dengan menampilkan 250 jenama arak dari 43 kilang di seluruh dunia.
Bagaimanapun Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menolak permohonan permit bagi penganjuran pesta berkenaan atas sebab keselamatan selain bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.
Malah, Ketua Polis Negara sebelum ini juga mendedahkan bahawa kumpulan militan merancang untuk mensabotaj pesta berkenaan, dan tidak menolak kemungkinan berlaku masalah keselamatan yang serius.
The post Hormat budaya orang bukan Islam, tapi bukan pesta arak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Hormat budaya orang bukan Islam, tapi bukan pesta arak
0 Komentar untuk "Hormat budaya orang bukan Islam, tapi bukan pesta arak"