Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 9 Muharram 1439H, Sabtu – Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kota Bharu, Ustaz Abdul Rahman Iskandar menyeru umat Islam di negara ini bersatu memikul beban bagi mengembalikan semula kekuatan Islam sebagai kuasa penentu hala tuju negara.
Beliau menegaskan, masyarakat perlu melihat politik sebagai medium memperkukuh kekuatan Islam di negara ini.
“Dalam konteks Malaysia, kita tak boleh nafikan kedudukan Melayu sebagai tonggak kekuatan. Ikatan unik Melayu dan Islam diabadikan secara jelas menerusi sejarah dan kemudian dimaterikan dalam Perlembagaan.
“Namun persoalannya sudah kukuhkah kedudukan orang Melayu pada hari ini? Jika tidak kukuh, bangsa mana lagi yang kita boleh harapkan untuk membela perjuangan Islam di negara ini,” katanya ketika berucap di himpunan anjuran PAS (Fastaqim 2.0) di Pantai Tok Jembal, semalam.
Abdul Rahman berkata, realiti selepas 60 tahun merdeka, telah menggambarkan kedudukan Melayu di Malaysia.
“Dari sudut ekonomi misalnya masih gagal mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti bangsa Melayu dengan pelaksanaan DEB.
“Dan kemudian muncul pada hari ini Model Ekonomi Baru pada 2010 untuk menampung kegagalan sebelum itu. Namun masih wujud sangsi adakah ia mampu selesai masalah ekuiti bangsa Melayu di negara ini?
“Program TN50 juga tidak meletakkan matlamat mengangkat kedudukan bangsa Melayu bagi mendapatkan semula hak yang telah tercagar,” katanya.
Malah, beliau berkata, lebih menggusarkan, segala yang melibatkan asas kepada Perlembagaan negara dan kontrak sosial telah mula dipertikaikan secara terang-terangan.
“Ini termasuklah kedudukan bangsa Melayu sebagai pribumi. Hak-hak keistimewaan orang Melayu, undang-undang syariah, konsep feudalisme persekutuan.
“Atas dasar ini, Isma sejak dari awal melaungkan slogan mengangkat kesatuan umat Melayu sebagai prasyarat kebangkitan Islam.
“Jika dahulu, umat Melayu boleh bersatu, dalam memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah, melalui tokoh seperti Tok Janggut, Tok Ku Paloh dan ramai lagi.
“Tidak mustahil orang Melayu hari ini boleh bersatu, meneruskan perjuangan mereka,” tegasnya.
The post Kembalikan semula kekuatan Islam dalam menentu hala tuju negara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kembalikan semula kekuatan Islam dalam menentu hala tuju negara
0 Komentar untuk "Kembalikan semula kekuatan Islam dalam menentu hala tuju negara"