Sememangnya pengorbanan para perajurit dan kebijaksanaan pemimpin kita yang terdahulu telah memungkinkan kita untuk merasai kebahagiaan dan kenikmatan, bebas membentuk dan menentukan nasib negara kita sendiri.
Namun, tahun ini media sosial kelihatan hangat berdiskusi mengenai isu meraikan perajurit British yang dikatakan berjuang ketika konfrontasi pasca merdeka antara Indonesia dan Malaysia.
Ya, tidak dinafikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), khususnya lantang mempertikaikan tindakan kerajaan ini.
Tapi sekiranya kita tenangkan minda sejenak dan sama-sama berfikir mengenai kedaulatan bangsa dan negara kita pada masa hadapan, ada rasionalnya kenapa Isma prihatin mengenai isu tersebut.
Hampir empat tahun saya di Ireland, sukanya saya untuk melafazkan nikmat penuh kesyukuran kerana dapat menimba segenap ilmu baik perubatan, agama mahupun perbezaan budaya di sini. Atas minat peribadi terhadap sejarah dan ketamadunan, masa yang terluang digunakan sebaiknya untuk menelusuri sejarah bumi Shamrock ini sendiri.
Namun yang paling menyentuh jiwa saya adalah kemerdekaan Ireland ini sendiri.
Buat pengetahuan, Ireland antara negara terawal yang merasai penjajahan kolonial British. Akibat penjajahan itu, negara Ireland hampir kehilangan khazanahnya seperti istana-istana pemerintah, gereja Katolik (British bermazhab Protestant) dan tidak kurang juga bahasa asal warga Ireland iaitu Gaelic.
Penjajahan ini telah menyebabkan berjuta-juta kematian rakyat pribumi seperti Rathlin Islands Massacre, 1575 (lebih 600 kematian), Rock Of Cashel Massacre, 1647 (lebih 1,000 kematian) dan Drogheda Massacre, 1649 (lebih 3,500 kematian).
Pembantaian nyawa ini adalah diakibatkan oleh perbezaan mazhab Kristian antara British dan Ireland. Tidak kurang juga undang-undang pemulauan (Penal Law) yang dikenakan ke atas penganut Katolik ketika penjajahan mereka hingga menafikan hak belajar, berkahwin, berjual beli dan banyak lagi.
Namun, yang paling menyayatkan hati saya adalah peristiwa The Great Famine (1845-1852) yang hampir menghapuskan populasi pribumi Ireland dalam masa yang cukup singkat.
Kenapa hal ini boleh terjadi? Tanam paksa! Sistem tanam paksa yang telah memenuhkan perut-perut warga Britain! Ketika penjajahan, Kolonial British telah mengarahkan tanah-tanah yang subur di Ireland ditanam dengan benih-benih jagung, gandum dan banyak lagi.
Hasil-hasil ini dibawa pulang ke Britain dan disimpan di gedung-gedung besar dengan kawalan yang ketat. Warga pribumi pula hanya dibenarkan menanam ubi kentang yang akhirnya menjadi makanan ruji warga Ireland.
Bagaimana kebuluran boleh berlaku? Satu penyakit yang dinamakan ‘potato blight’ telah menyerang ubi kentang ini dan menyebabkan hasil tanaman mereka rosak. Walaupun, Ireland kaya dengan hasil tanaman, akibat penjajahan dan dasar penyisihan British, mereka akhirnya terpaksa bergantung dengan memakan rumput dan ranting!
Begitulah ringkasan peristiwa yang menjurus kepada pemberontakan warga pribumi Ireland pada tahun 1916. Pemberontakan berdarah yang lebih dikenali sebagai Easter Rising di seluruh Ireland ini menyebabkan ramai golongan intelektual Ireland dihukum oleh pihak British.
Namun akhirnya, pihak British terpaksa akur atas desakan warga pribumi yang muak dengan tindakan British menghukum pejuang-pejuang Ireland yang terlibat dalam pemberontakan tersebut.
Republic of Ireland akhirnya mendapat kemerdekaan beberapa tahun selepas peristiwa itu atas darah dan mayat pejuang-pejuang pribumi Ireland.
Menarik bukan? Pada tahun lepas, Ireland telah meraikan 100 tahun perjuangan Easter Rising (1916-2016). Banyak poster-poster pejuang mereka ditampal di tempat-tempat awam bersama kisah-kisah mereka, malahan di atas bas awam sekalipun!
Hanya dengan menghayati perjuangan mereka sahaja baharu kita faham betapa ceteknya pemikiran kita dalam menghayati erti perjuangan pahlawan-pahlawan kita zaman dahulu.
Tidaklah sesuatu yang menghairankan kiranya kami di Isma kecewa dengan sikap masyarakat dan pimpinan kita dalam menghargai perjuangan pahlawan-pahlawan ini.
Merdeka bukanlah hanya dengan mengibarkan bendera, konsert dan bunga api sahaja. Saya berasa iri hati dengan perarakan bendera perjuangan Ireland, lakon semula peperangan Ireland menentang British dan banyak lagi yang saban tahun diraikan di sini.
Ayuh bersama kita buka minda dalam menelaah sejarah anak watan. Moga generasi hadapan lebih menghargai pejuang pribumi yang gugur demi memastikan anak cucu mereka mampu hidup aman makmur seperti hari ini.
Banyak lagi cerita menarik perjuangan warga Ireland yang boleh kita ambil iktibar, maaf tak mampu saya luahkan semua di sini.
Salam kemerdekaan, daripada mahasiswa perubatan yang cinta sejarah.
The post Kisah Ireland lawan penjajah: Hayati pengorbanan pejuang kemerdekaan kita appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kisah Ireland lawan penjajah: Hayati pengorbanan pejuang kemerdekaan kita
0 Komentar untuk "Kisah Ireland lawan penjajah: Hayati pengorbanan pejuang kemerdekaan kita"