NEW YORK, 28 Zulhijjah 1438H, Selasa – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada Isnin menggesa masyarakat antarabangsa menyelaraskan usaha untuk menyelesaikan isu nuklear Korea Utara secara aman dan menekankan perlunya Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan sekatan, supaya negara itu kembali ke meja rundingan, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Gesaan itu disuarakan pada pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. Pemimpin Korea Selatan itu tiba di sini awal hari ini sempena dalam lawatan empat hari untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB.
“Presiden Moon menekankan betapa perlunya masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan PBB secara menyeluruh,” kata jurucakap Presiden, Park Soo-hyun.
Sekatan terbaharu yang dipersetujui sebulat suara Majlis Keselamatan PBB antara lain menyekat 30 peratus bekalan minyak Korea Utara, melarang semua eksport tekstil bernilai US$800 juta dan kiriman wang oleh pekerja Korea Utara dari luar negara.
Dengan sekatan baharu tersebut 90 peratus eksport negara berkenaan juga dilarang.
Larangan merangkumi eksport arang batu, besi, bijih besi, plumbum, bijih timah dan makanan laut dari Korea Utara.
Presiden Moon juga meminta setiausaha agung PBB membantu menyelesaikan isu nuklear Korea Utara secara lebih komprehensif dan aman.
Selain itu, Moon berkata negaranya juga akan bekerjasama dengan negara lain untuk menangani pelbagai isu global termasuk perubahan iklim, keganasan dan pelarian.
Pada masa sama, Guterres mengakui terdapatnya keperluan kepada masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah “tegas”, berhubung isu nuklear Korea Utara dan akan berusaha mencari penyelesaian menerusi dialog.
Guterres berkata, PBB berharap dapat meluaskan lagi kerjasama dengan Korea Selatan dalam semua bidang memandangkan sumbangan serta kepemimpinan negara itu dalam pelbagai isu global kian berkembang. – Bernama
The post Korea Selatan gesa kerjasama masyarakat antarabangsa untuk laksana sekatan ke atas Korea Utara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Korea Selatan gesa kerjasama masyarakat antarabangsa untuk laksana sekatan ke atas Korea Utara
0 Komentar untuk "Korea Selatan gesa kerjasama masyarakat antarabangsa untuk laksana sekatan ke atas Korea Utara"