PUTRAJAYA, 15 Zulhijjah 1438H, Rabu – Malaysia akan terus menangani isu membabitkan minoriti Islam Rohingya di Myanmar tidak lama lagi, di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia tidak akan menghentikan usahanya dalam mencari segala langkah untuk menghentikan keganasan yang semakin memuncak terhadap minoriti Islam Rohingya di negeri Rakhine selepas Asean gagal menangani isu itu dengan berkesan.
“Saya berpendapat Asean tidak lagi dapat menangani isu ini. Dalam Asean, saya tidak lagi menaruh harapan. Kami mengadakan tujuh mesyuarat, dan Malaysia telah menyuarakan kebimbangan kita kepada Myanmar dan mereka (Myanmar) berjanji untuk menangani kebimbangan itu.
“Sehingga hari ini, tiada apa pun yang dilakukan. Oleh itu, Malaysia mungkin membangkitkan perkara ini di peringkat yang lain, misalnya PBB dan OIC,” katanya ketika diminta mengulas sama ada Malaysia akan membangkitkan isu keganasan yang berterusan diperlakukan ke atas Rohingya, pada Perhimpunan Agung PBB bulan ini.
Anifah bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar Brazil Aloysio Nunes, yang melakukan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula semalam, di Wisma Putra di sini hari ini.
Semalam, Wisma Putra memanggil Duta Myanmar di Malaysia, U Sein Oo untuk menyuarakan rasa kurang senang Malaysia berhubung situasi keganasan terkini di negeri Rakhine.
Anifah dalam kenyataannya semalam, dipetik sebagai berkata Malaysia amat bimbang dengan keganasan berterusan yang diperlakukan terhadap etnik Rohingya di negeri Rakhine.- Bernama
The post Malaysia tangani isu Rohingya di pentas PBB, OIC appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Malaysia tangani isu Rohingya di pentas PBB, OIC
0 Komentar untuk "Malaysia tangani isu Rohingya di pentas PBB, OIC"