KEMUNGKINAN besar ramai yang tidak mengenali siapa Jacqualine Saburido. Wanita berusia 39 tahun ini adalah mangsa yang masih hidup dan merana sepanjang hayat akibat kemalangan maut, apabila kereta yang dinaiki bersama empat lagi rakannya bertembung dengan kereta Reginald Stepney yang memandu dalam keadaan mabuk.
Pada tanggal 19 September 1999, Stepney mengambil keputusan untuk memandu sendirian untuk pulang selepas mabuk menghadiri majlis parti arak bersama kawan-kawannya.
Akibat kemalangan di Austin, Texas ini, dua rakan Jacqualine mati di tempat kejadian. Dua lagi rakannya terselamat dengan kecederaan, namun yang paling tragis adalah Jaqualine sendiri kerana beliau terperangkap di dalam kereta yang terbakar.
Beliau yang ketika itu berusia 21 tahun akhirnya berjaya dibawa keluar dan diterbangkan ke unit kebakaran di Galveston dan disahkan mengalami kebakaran tahap kedua dan ketiga iaitu hampir 60 peratus daripada tubuhnya.
Jari jemarinya terpaksa di potong, beliau kehilangan seluruh rambutnya, hidung, telinga, bibir, kelopak mata dan hampir keseluruhan penglihatan. Semenjak peristiwa itu beliau menjalani lebih daripada 120 pembedahan susulan, termasuk pemindahan kornea untuk mendapatkan semula sebahagian fungsi mata kirinya.
Google sahaja nama beliau untuk melihat wajah terkininya dan betapa cantik beliau sebelum kejadian. Beliau tampil dalam pelbagai rancangan TV, termasuk Oprah Winfrey Show dan Australian 60 minutes untuk mendidik manusia mengenai bahaya memandu dalam keadaan mabuk.
Malangnya, kisah sedih ini semakin dilupakan. Kini di seluruh dunia, setiap kali datang bulan Oktober, hampir pasti pesta arak atau Beer Festival akan dianjurkan.
Malaysia tidak terkecuali dan ini terus menimbulkan kontroversi dan ketidaksenangan, khususnya di kalangan masyarakat Malaysia prihatin yang tidak mahu melihat peristiwa melanda Jacqualine Saburido ini berulang.
Justeru, kita mengutuk keras penganjuran Pesta Beer yang dirancang diadakan di Publika Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Oktober ini. Sekalipun, memang dikhususkan untuk non-Muslim, tetapi tiada jaminan untuk orang Islam tidak terlibat dalam penganjurannya atau menyertainya secara langsung.
Penyokong pesta arak biasanya berhujah bahawa ini adalah hak kebebasan mereka untuk mabuk dan mengadakan parti sesuka hati, namun penganjur perlu melihat sensitiviti masyarakat negara ini.
Hampir seluruh masyarakat Islam yang menjadi penduduk majoriti negara amat sensitif terhadap isu arak yang jelas adalah haram di sisi agama. Maka, cubaan penganjur untuk membuat pertunjukan 250 kraf beer dari 43 kawasan pembuatan beer di 12 negara adalah sangat keterlaluan dan langsung tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam.
Penganjur dan penyokong pesta arak ini juga akan terus berdalih bahawa ini telah dianjurkan sekian lama dan merupakan kebebasan hak buat mereka.
Benar kebebasan hak, tetapi bukan dengan menganjurkan pesta arak seperti ini. Jika hendak minum juga, minumlah secara senyap tanpa perlu berpesta, yang jelas lari daripada kehendak Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara, sebagaimana Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan dan ini mesti dihormati semua pihak dalam negara.
Jika mereka terlalu berhajat untuk melaksanakannya, kenapa perlu memilih Malaysia, pilihlah Singapura atau Thailand?
Kepada Menteri Pelancongan dan Hajah Timbalan Menteri, kita katakan kepada anda bahawa ini adalah agenda Barat terhadap anak-anak muda kita. Masih banyak lagi peluang untuk mempromosikan negara dan mendapatkan hasil pelancongan.
Memilih untuk menarik pelancong datang, meneguk dan mencuba pelbagai jenis arak di sini tidak dapat diterima oleh umat Islam. Maka kerajaan diseru membatalkan sahaja penganjuran kali ini sebagai pengajaran bahawa pesta seumpama ini tidak dialu-alukan di sini.
Ini akan memberi isyarat jelas kepada penganjur, supaya untuk tahun mendatang mereka akan membawa penganjuran yang menjijikkan ini ke Singapura atau lain-lain negara bukan Islam untuk mengelakkan pembaziran akibat pembatalan program mereka.
Namun, sebenarnya, jika negara tersebut juga ingin mengambil pengajaran dari peristiwa Jacqualine Saburido, pesta arak adalah sesuatu yang seharusnya dikekang dan masyarakat seluruhnya diajak untuk kembali kepada kehidupan beragama.
Pengharaman arak telah jelas di dalam al-Quran melalui ayat-ayat dalam surah Al-Baqarah (Ayat 219) dan An-Nisa’ (ayat 43, 90 dan 91). Malah, larangan meminum arak ini juga terdapat dalam agama lain termasuk Kristian.
Maka, kepada penganjur, harap bersedia jika penganjuran pesta arak ini dibatalkan atau ditangguhkan sampai bila-bila kerana umat Islam bukan sahaja tidak bersetuju, malah tidak boleh melihat perkara mungkar sebegini berlaku di depan mata tanpa melakukan apa-apa.
Kepada seluruh umat Islam, marilah kita bersatu suara membantah penganjuran pesta arak ini, mengambil semangat daripada hadis Nabi SAW:
“Barangsiapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu dengan hatinya. Maka itulah selemah-lemah iman” – Riwayat Muslim.
Kepada kerajaan, sekali lagi ditegaskan dan diminta sungguh-sungguh, bertindaklah dengan tangan, tanganilah dan batalkanlah penganjurannya.
Ustaz Haji Omar Kassim
Pengerusi Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
The post Penganjur Better Beer Festival perlu tahu siapa Jacqueline Saburido appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Penganjur Better Beer Festival perlu tahu siapa Jacqueline Saburido
0 Komentar untuk "Penganjur Better Beer Festival perlu tahu siapa Jacqueline Saburido"