BANGI, 21 Zulhijjah 1438H, Selasa – Pertemuan di antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijadual hari ini tidak akan mempengaruhi serta menjejaskan siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) AS berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausaha Akhbar White House, Sarah Huckabee Sanders berkata, pentadbiran Trump enggan mengulas mengenai isu kontroversi yang terpalit dengan syarikat pelaburan Malaysia itu.
Katanya, pertemuan di antara dua pemimpin itu akan menumpukan kepada pelbagai isu serantau dan keselamatan.
“(Mereka akan) berbincang mengenai cara memperkukuhkan kerjasama membanteras pengganas, tentunya menghapuskan ISIS, menangani isu Korea Utara, dan memastikan kita mempromosikan keamanan maritim di Laut China Selatan.
“Kita tidak akan memberi komen mengenai siasatan berterusan oleh DOJ, dan siasatan itu tidak berkaitan politik dan sudah tentu bebas daripada apa-apa yang berlaku esok,” katanya dalam taklimat media semalam.
Ogos lalu, media antarabangsa melaporkan bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dilapor sudah memulakan siasatan jenayah terhadap penyalahgunaan dana 1MDB.
Menurut laporan, dokumen mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) menunjukkan AS sedang mempergiatkan siasatan di seluruh dunia bagi mengesan wang 1MDB yang diseleweng untuk membeli hartanah mewah dan lukisan serta dilaburkan dalam produksi filem dan banyak lagi.
Dalam saman sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai atasan dana itu dan sekutunya.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan yang didakwa dirompak daripada 1MDB dan dituntut DoJ untuk disita ialah AS$4.5 bilion.
DoJ kali pertama memfailkan saman pada Julai 2016 untuk merampas kira-kira AS$1 bilion (RM4.4 bilion) aset dipercayai dibeli dengan wang diselewengkan daripada 1MDB.
Antaranya ialah karya seni dan hartanah di New York dan Los Angeles. Ia merupakan kes terbesar menerusi Inisiatif Penyitaan Aset Kleptokrasi (KARI) jabatan itu.
The post Pertemuan Trump-Najib tak pengaruhi siasatan DoJ terhadap 1MDB appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pertemuan Trump-Najib tak pengaruhi siasatan DoJ terhadap 1MDB
0 Komentar untuk "Pertemuan Trump-Najib tak pengaruhi siasatan DoJ terhadap 1MDB"