SHAH ALAM, 9 Muharram 1439H, Sabtu – Polis tidak akan meluluskan sebarang permit bagi penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang dekat sini, pada 12 dan 13 Oktober ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan ketika dihubungi berkata ini kerana festival yang dinamakan ‘Centro German F&B Party’ itu turut menyediakan minuman keras atau arak yang mana arahan telah dikeluarkan kepada polis untuk menyekat sebarang penganjuran pesta arak.
“Pihak saya tidak membenarkan seperti mana arahan yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini supaya polis memastikan tiada sebarang pesta arak dianjurkan,” katanya.
“Polis sehingga kini juga belum menerima sebarang surat permohonan daripada penganjur dan sekiranya ada pihak mendakwa sudah dapat kelulusan, itu adalah surat kebenaran palsu,” kata Mazelan.
Semalam, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk membuat keputusan mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada berhubung pesta arak atau minuman keras di negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana dan Pengangkutan negeri bagaimanapun berkata kerajaan negeri secara dasarnya menghormati proses demokrasi dan menghormati hak setiap rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.
Sebelum ini, Majlis Perbandaran Klang dilapor telah meluluskan penganjuran pesta makanan dan minuman itu tetapi perlu mematuhi beberapa syarat, termasuk melarang kemasukan umat Islam ke kawasan penganjuran acara selain perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa. – Bernama
The post Polis Klang Utara tidak luluskan penganjuran ‘Centro German F&B Party’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Polis Klang Utara tidak luluskan penganjuran ‘Centro German F&B Party’
0 Komentar untuk "Polis Klang Utara tidak luluskan penganjuran ‘Centro German F&B Party’"